SAUDARA PENGARANG,
MAHKAMAH Persekutuan telah memutuskan bahawa 16 seksyen dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 2019 telah terbatal.
Keputusan Mahkamah Persekutuan ini kita hormati. Pun begitu, saya memerhatikan ada beberapa naratif yang cuba dimainkan oleh sesetengah pihak dengan begitu jelas.
Pertama, dakwaan kononnya 16 seksyen itu terbatal kerana berlakunya pertindihan dengan undang-undang persekutuan. Kononnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan memang sengaja menggubal undang-undang yang bertentangan dengan semangat federalisme.
Ataupun kononnya adun-adun Kelantan tidak pandai menggubal undang-undang. Ini kurang tepat. Seksyen itu terbatal bukan kerana ia tidak berperlembagaan tetapi kerana penafsiran mahkamah dalam memperkembangkan kaedah untuk mengetahui garis pemisah antara bidang kuasa Persekutuan dan negeri.
Kedua, wujud naratif bahawa dengan terbatalnya 16 seksyen ini, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana segala kesalahan takzir ini boleh wujud juga di undang-undang sivil yang dimuatkan dalam senarai Persekutuan.
Undang-undang Islam ini bukanlah suatu perkara yang boleh dipotong dan tampal pada tempat lain sesuka hati begitu sahaja. Hanya kerana sesuatu perkara itu ada persamaan dengan sesuatu yang lain, tidak semestinya ia boleh disamakan.
Meletakkan istilah takzir pada yang bukan tempatnya adalah suatu pelanggaran terhadap disiplin ilmu. Ketiga, wujud naratif-naratif yang menyebut bahawa yang namanya Islam itu tidak semestinya perlu ada nama Islam atau syariah. Itu semua hanya kosmetik katanya.
Jika benarlah dakwaan ini, British tidak perlu bersusah-payah ketika datang ke Tanah Melayu dan menghapuskan segala institusi kehakiman yang sudah sedia ada wujud di negara ini. Profesor Ahmad Ibrahim juga tidak akan gigih berusaha mewujudkan Perkara 121 (1A) dalam Perlembagaan Persekutuan yang memisahkan hierarki mahkamah syariah dan sivil.
Sistem perundangan syariah berbeza dan falsafahnya yang berbeza dari Barat menyebabkan ia bukan kosmetik semata-mata. Ada perbezaan ketara antara dua sistem perundangan ini. Ia bukan sekadar nama.
Susulan keputusan kes Nik Elin, ia akan mendatangkan pelbagai masalah perundangan pada masa akan datang. Perlu difahami bahawa undang-undang ini tidak boleh bersifat diskriminatori. Ia perlu terpakai kepada semua orang.
Contohnya, salah satu seksyen yang terbatal adalah seksyen 37(1)(b) yang menghalang Muslim daripada menganjurkan perjudian.
Apabila seksyen ini terbatal dan dimasukkan dalam Senarai Persekutuan, maksudnya larangan ini akan terpakai juga kepada seluruh rakyat Malaysia. Adakah ini boleh dipersetujui oleh bukan Muslim?
Saya menjangkakan dua perkara. Sama ada kerajaan tidak akan menguatkuasakan langsung larangan ini atau ia akan diusahakan untuk dimansuhkan jika dilaksana. Sebab itulah keputusan kes Nik Elin ini bermasalah. Ia akan membuka kemungkinan sebegini untuk berlaku.
Justeru, saya menggesa kerajaan untuk segera membuat menggubal segera undangundang yang berkaitan 16 seksyen yang sudah terbatal jika masih tiada dan meminda perlembagaan untuk memastikan diskriminatori undang-undang diberikan pengecualian dalam menguatkuasakan undang-undang yang terbatal kepada umat Islam.
Buktikan kepada rakyat bahawa perundangan syariah tidak akan mati di bawah pimpinan kerajaan hari ini. – UTUSAN
ABU DZAR MOHD. ANNUAR
Naib Presiden 3 PEMBINA Malaysia
Mahasiswa Tahun Lima
Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Laws (AIKOL) UIAM










