Menjamin kelas satu mahkamah syariah

Menjamin kelas satu mahkamah syariah

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

ISU stoking kalimah Allah dan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid membatalkan 16 peruntukan Enakmen Syariah Kelantan menimbulkan pelbagai soalan terhadap kedudukan Islam di negara ini.
Ada mendakwa seolah-olah Islam dihina, terancam dan tercabar. Tidak kurang pula menggesa supaya institusi mahkamah syariah diperkasakan.

Menteri Agama, DATUK DR. MOHD. NA’IM MOKHTAR bagaimanapun ada jawapannya kepada persoalan-persoalan itu kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan OMAR ZIN serta jurufoto, FAISOL MUSTAFA dalam pertemuan di Putrajaya baru-baru ini.

KOMPETENSI NEGERI

UTUSAN: Apa langkah sedang dilakukan kerajaan bagi menangani isu mempertahankan agama Islam terutama dalam soal pemerkasaan mahkamah syariah?

NA’IM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mengambil inisiatif semasa baginda sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) dengan menitahkan supaya diwujudkan satu jawatankuasa khas yang akan buat kajian termasuk melihat sejauh mana negeri-negeri kompeten untuk membuat undang-undang berkaitan hal ehwal Islam bagi mengelakkan negeri daripada buat undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Skop kajian jawatankuasa khas itu melihat dari segi pindaan Perlembagaan Persekutuan. Adakah Perlembagaan Persekutuan sedia ada ini menghalang ataupun mengurangkan bidang kuasa mahkamah syariah?
Macam mana supaya bidang kuasa mahkamah syariah boleh diperkukuhkan supaya rakyat khususnya orang Islam tidak melihat ia sebagai Islam terancam atau ada usaha-usaha untuk mengurangkan kuasa mahkamah syariah.

Kalau nak pinda mahkamah syariah daripada sudut falsafah hukuman adalah nak menghindarkan orang daripada melakukan kesalahan tersebut. Sudah tentu falsafah dia. Hukuman mestilah berat, baru boleh jadi pengajaran kepada orang lain daripada melakukan kesalahan tersebut. Tapi peruntukan hukuman tersebut yang sedia ada yang berat yang hampir dengan syariah pun ada di mahkamah sivil. Jawatankuasa khas ini masih lagi bersidang dan diberikan tempoh sehingga setahun dan mereka sudah bermula sejak Disember lalu, jadi sudah masuk empat bulan mereka bertugas.

Apa yang dikaji oleh jawatankuasa khas MKI setakat ini?

Mereka mengkaji kompetensi negeri-negeri menggubal undang-undang Islam dan bukan hanya tertumpu kepada enakmen jenayah. Kalau lihat bidang kuasa yang diberikan kepada mahkamah syariah di bawah Perlembagaan Persekutuan, ada kemungkinan banyak lagi perkara yang belum lagi digubal macam pewarisan, pengangkatan anak. Maknanya boleh perluas lagi bidang yang boleh diperkukuhkan.

Saya beri contoh, jawatankuasa khas ini akan berikan cadangan bagaimana kalau ada keperluan untuk menambah subject matter bidang kuasa mahkamah selagi tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Kita tak nak kalau berlaku kes liwat, mahkamah sivil pun ada. Jadi, kita nak pastikan supaya tidak berlaku pertindihan antara mahkamah.

Jawatankuasa ini juga akan kaji enakmen negeri-negeri mana yang berkaitan syariah. Enakmen keluarga Islam contohnya dan sekiranya ada keperluan untuk tambah baik dan cadangan itu akan dikemukakan. Ini tidak melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Adakah jawatankuasa ini melihat ada keperluan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memperkasa mahkamah syariah?

Mereka tidak nampak lagi ada keperluan untuk pindaan tapi mereka ada setahun lagi. Jadi, kalau kajian mereka sampai kepada satu cadangan ada keperluan untuk meminda perlembagaan, kita akan buat. Pelantikan mereka tidak menghalang mereka untuk mencadangkan kepada MKI sekiranya ada keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Kalau ada mana-mana Perlembagaan Persekutuan yang menghalang kuasa mahkamah syariah, contohnya mengurangkan kuasa mahkamah syariah seperti mana yang berlaku pada 1988. Ketika itu, apa yang nampak mahkamah syariah ini jadi second class mahkamah sebab keputusan hakim mahkamah syariah boleh diubah oleh hakim mahkamah sivil. Itu yang Perkara 121 (1A) dipinda. Ini sudah diperkasakan, maksudnya tidak ada mana-mana mahkamah yang boleh membatalkan sebarang keputusan mahkamah syariah.

Jadi, mereka akan kaji dan melihat kalau ada yang menghalang mana-mana peruntukan. Kalau dulu kita ada 121 (1A). Setakat ini belum nampak lagi tapi kita ada masa setahun. Tuanku tidak mahu tergesa-gesa, tak nak nanti jadi masalah balik. Biar kita lihat secara keseluruhan.

PERTINDIHAN BIDANG KUASA NEGERI

Bagaimana status enakmen di negeri-negeri lain susulan keputusan kes Nik Elin?

Kesan daripada keputusan mahkamah dalam kes Nik Elin hanya terpakai di negeri Kelantan. Negeri-negeri lain yang ada peruntukan lebih kurang sama, dia boleh ambil keputusan tunggu dan lihat sampai orang lain cabar pun boleh sebab undang-undang di negeri lain tidak terbatal, makna kalau ada orang buat kesalahan itu masih lagi boleh didakwa.

Maknanya, negeri lain berlaku juga pertindihan bidang kuasa selagi tidak ada pihak yang membuat cabaran, dia boleh terpakai. Bahagian penguatkuasaan agama boleh juga tidak mengambil tindakan sebagai moratorium.

UNDANG-UNDANG DISERAGAM

Bukankah ia menunjukkan bidang kuasa agama di negeri-negeri seolah-olah wujudnya 14 set undang-undang Islam di negara ini?

Sebab itu di bawah Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan (4), undang-undang di negeri-negeri boleh diseragamkan. Atas dasar tersebut, kerajaan persekutuan menubuhkan agensi-agensi untuk menyeragamkan undang-undang tersebut dalam konteks mahkamah syariah.

Kita ada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan mereka akan mengetuai negeri-negeri ini, bincang macam mana kita nak seragamkan hal ehwal Islam berkaitan masjid, pendidikan Islam, peraturan, wakaf dan zakat.

Namun, segalanya bergantung kepada negeri untuk bersetuju dengan model undang undang yang diwujudkan di peringkat persekutuan. Bahagian Undang-Undang Jakim dan JKSM bekerjasama untuk merangka model undang-undang jenayah syariah dan ia akan diusulkan kepada negeri-negeri.

Kemudian, kita ada MKI. Apa sahaja undang-undang berkaitan Islam akan dibawa kepada mereka. Salah satu jawatankuasa di bawah MKI adalah Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan (JPIK) yang akan menggubal undang-undang dan merangka model yang akan dilaksanakan di negeri-negeri. Contohnya, kalau tidak ada enakmen wakaf, JPIK akan kaji dan bawa usul ke MKI dan apabila MKI setuju, maknanya ia juga sudah dipersetujui oleh negeri-negeri.

Setiap negeri ada cara masing-masing, tapi agensi-agensi yang diwujudkan di bawah kerajaan persekutuan termasuklah MKI berperanan untuk menyeragamkan undang-undang negeri.

DUA PERUNDANGAN

Pertikaian pertindihan bidang kuasa lebih tertumpu kepada jenayah syariah. Adakah ada sebarang kemungkinan enakmen jenayah syariah diletakkan sepenuhnya di bawah sivil?

Saya tidak nampak kemungkinan tersebut selagi kita ada dua sistem perundangan. Saya rasa orang Islam pun tak nak. Contohnya, kalau macam kes khalwat. Namun sekarang, enakmen yang ada tidak dicabar pun sebab itu memang satu kesalahan moral dan akhlak melibatkan undang-undang Islam.

Kalau enakmen jenayah syariah ini dibatalkan secara keseluruhan, dibawa masuk dalam Kanun Keseksaan, maknanya secara tidak langsung kewujudan kompetensi mahkamah syariah untuk membicarakan beberapa perkara jenayah syariah itu akan tercabar.

Mahkamah syariah ini di bawah Perlembagaan Persekutuan, memberikan bidang kuasa jenayah yang terhad, yang mahkamah sivil tak boleh buat. Macam zina contohnya, kalau consensual, ia tidak dianggap sebagai satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan melainkan jika ia melibatkan kanak-kanak bawah umur.

Tapi dalam Islam, sama ada persetujuan atau tidak, ia tetap jadi satu kesalahan. Sebab itu, jawatankuasa khas ini akan mencadangkan apa lagi kesalahan-kesalahan boleh dilihat selain daripada menghina agama Islam seperti zina, minum arak, tak pergi solat Jumaat, tidak berpuasa, tidak menghormati bulan Ramadan. Kemungkinan ada lagi yang boleh dimasukkan. Ia bukan dalam bidang kuasa mahkamah sivil, dia tak boleh buat undang-undang tersebut.

Sebab itu kita ada keperluan untuk dua perundangan di negara ini. Untuk umat Islam, kita nak didik dia dengan hukuman tapi dalam undang-undang sivil tidak dianggap sebagai satu kesalahan, itu sebab kita kena ingat Kanun Keseksaan ini undang-undang umum. Dia terpakai kepada orang Islam ataupun bukan Islam.

Bagaimana jika kesalahan melibatkan orang Islam dengan bukan Islam seperti kes zina atau liwat?

Orang Islam itu akan dibicarakan di mahkamah syariah. Tapi mahkamah syariah tidak ada bidang kuasa ke atas orang bukan Islam. Itu akan dikaji oleh jawatankuasa khas. Kalau bukan Islam itu, dia akan jadi kesalahan juga tapi akan didakwa di mahkamah sivil di bawah Kanun Keseksaan.

Bukan Islam tidak tertakluk

Adakah kerajaan akan memperkenalkan hukuman lebih berat kepada mana-mana pihak yang cuba menghina agama, tidak kira Islam atau bukan Islam?

Mahkamah syariah di bawah Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam, maknanya penghinaan kepada agama Islam itu sendiri hanya terpakai kepada orang Islam. Yang bukan Islam akan berdepan Kanun Keseksaan yang hukumannya kadang-kadang lagi berat.

Sebab itu dalam kes melibatkan KK Mart, pendakwaan dan siasatan dibuat oleh pihak polis, bukan pihak berkuasa agama. Tapi kalau penghinaan dilakukan oleh orang Islam menghina agama Islam, dia akan didakwa di mahkamah syariah yang mana hukumannya tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan. Ini maksimum yang hakim mahkamah syariah boleh kenakan hukuman ke atas orang Islam.

Tetapi penghinaan agama memang ada di bawah Kanun Keseksaan. Akta Hasutan satu perkara tapi mana-mana individu yang didapati menghina dia boleh didakwa Kanun Keseksaan.

Bagaimana usaha perkasa Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 setakat ini?

Akta ini dalam usaha untuk dipinda sebab dah 40 tahun sejak dapat pindaan terakhir tahun 1984 dan tidak pernah dipinda. Jadi kerajaan akan usahakan untuk meminda akta ini.

Tapi kita baru selesai libat urus. Kerajaan terdahulu memang ada keputusan dasar, tetapi bila kerajaan baharu ambil alih, kita dapati dia buat libat urus dengan negeri-negeri, dengan mahkamah-mahkamah syariah negeri-negeri dengan pendakwaan syarie negeri-negeri, penguatkuasaan negeri, majlis agama Islam negeri-negeri. Libat urus itu tidak berjalan secara teratur. Kita tidak pasti sebab ia kerajaan sebelum ini.

Jadi, kita nak pastikan libat urus diadakan sebab kuasa ini kuasa negeri, jadi kita kena hati-hati. Walaupun akta ini Akta Parlimen tapi pelaksanaannya itu adalah di negeri-negeri jadi perlu dilibat diuruskan. Kita tak nak nanti bila kita pinda akta, negeri kata tak libat urus.

Adakah ini tanggungjawab yang berat terutama kepada kerajaan perpaduan untuk memastikan mahkamah syariah diperkasakan sedangkan ia tidak dilakukan oleh kerajaan terdahulu?

Saya bukan orang politik tapi bagi saya, tanggungjawab untuk memperkasakan mahkamah syariah ini tanggungjawab ummah, sama ada dia pembangkang atau dalam kerajaan.

Kalau ikhlas dan betul-betul sayang, nak tengok usaha mahkamah syariah ini betul-betul diperkasakan, kita perlu bekerjasama dan kita kena sokong usaha ini tidak kiralah siapa yang nak bawa perkara ini. Sebab mahkamah syariah ini simbol Islam itu sendiri dan menjadi tanggungjawab semua untuk mempertahan dan memperkasakan mahkamah syariah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN