SJMC sedia perkhidmatan kesihatan terus ke rumah pesakit

SJMC sedia perkhidmatan kesihatan terus ke rumah pesakit

sjmc
Pusat Perubatan Subang Jaya menjadi hospital pertama di negara ini memperkenalkan Connected Care, ekosistem penjagaan pesakit jarak jauh yang mengubah penyediaan penjagaan kesihatan dengan perkhidmatan lancar terus ke rumah pesakit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) memperkenalkan Connected Care, ekosistem penjagaan pesakit jarak jauh yang mengubah penyediaan penjagaan kesihatan dengan perkhidmatan lancar terus ke rumah pesakit.

Perkhidmatan yang pertama seumpamanya di Malaysia ini merupakan penyelesaian inovatif yang memberi penekanan kepada hubungan dan pemantauan jarak jauh oleh profesional penjagaan kesihatan yang dipercayai.

Ini akan terus membolehkan pesakit dan orang yang tersayang mengakses penjagaan kesihatan pada bila-bila masa, di mana jua. 

Seiring dengan komitmen SJMC terhadap inovasi, SJMC telah menjalin kerjasama dengan Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) dan menyertai Hab HealthTech MRANTI, suatu inisiatif oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), untuk memacu kemajuan dalam teknologi penjagaan kesihatan dan memupuk inovasi transformatif dalam penjagaan pesakit.

“Kami mahu mengalihkan tumpuan daripada pesakit kepada individu, daripada penjagaan kesihatan kepada kesihatan yang menyeluruh, dan dari hospital ke rumah.

“Menerusi pelancaran Connected Care, kami merevolusikan kaedah penyampaian penjagaan kesihatan, sekali gus memperkasakan pesakit menerusi akses kepada penjagaan profesional dengan harga berpatutan di keselesaan kediaman mereka sendiri.

“Penyertaan kami dalam Hab HealthTech MRANTI terus mengukuhkan komitmen kami untuk menjalin kerjasama dalam usaha membawakan impak yang lebih besar, memacu perkembangan dalam teknologi penjagaan kesihatan serta memupuk inovasi transformatif bagi merangsang industri di masa hadapan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SJMC, Bryan Lin.

Connected Care menandakan pencapaian penting dalam komitmen SJMC untuk membangunkan sistem penjagaan kesihatan yang komprehensif dan menyeluruh.

Ekosistem yang inovatif ini diperluaskan susulan perkhidmatan sedia ada SJMC iaitu HomeConnect dan TeleConnect.

Ia merangkumi enam bidang penjagaan dengan perkhidmatan terkini, SeniorConnect. Perkhidmatan ini khusus untuk memenuhi keperluan pesakit warga emas berusia 65 tahun dan ke atas yang mungkin tinggal berjauhan daripada orang yang tersayang, dengan sokongan penjaga. 

SeniorConnect, komponen teras bagi Connected Care, menawarkan perkhidmatan pemantauan jarak jauh kepada pesakit yang disesuaikan dengan keperluan unik pesakit warga emas.

Menerusi perkhidmatan ini, profesional penjagaan kesihatan boleh merekod dengan tepat dan memantau tanda-tanda penting individu secara teliti serta menghantar bantuan segera sekiranya ia diperlukan.

Sistem pemantauan jarak jauh yang serba maju ini memastikan warga emas menerima penjagaan dan perhatian sewajarnya. Ini akan dapat mempromosikan kesejahteraan dan ketenangan untuk keluarga mereka. 

Program Hab HealthTech MRANTI menawarkan inovator teknologi kesihatan, penyedia teknologi dan pemain ekosistem akses kepada sandbox, program dan perkhidmatan yang mempercepatkan pengkomersilan produk dan penyelesaian teknologi kesihatan. 

Menerusi kerjasama ini, SJMC dan Hab Healthtech MRANTI akan bergabung sebagai rakan kongsi sandbox, untuk menyediakan platform untuk syarikat teknologi menguji dan mengesahkan produk mereka.

Usaha ini menyediakan peluang yang tidak ternilai kepada syarikat berkenaan untuk mengetengahkan penyelesaian mereka dan sekiranya produk mereka seiring dengan keperluan SJMC, terdapat potensi melaksanakan teknologi berkenaan di SJMC.

Menerusi sokongan Hab Healthtech MRANTI, SJMC memperoleh akses kepada pelbagai syarikat teknologi penjagaan kesihatan. Kerjasama yang tidak ternilai ini memperkasakan SJMC untuk meneroka, melibatkan diri serta memanfaatkan inovasi dan penyelesaian yang ditawarkan oleh syarikat canggih berkenaan, seterusnya meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.

 “Kami sama-sama berhasrat untuk menilai prestasi teknologi ini dalam persekitaraan penjagaan kesihatan yang sebenar dan memastikan hasil terbaik untuk pesakit. Kerjasama ini akan menyediakan nilai bukan sahaja kepada Hab HealthTech MRANTI tetapi juga kepada Kluster Integrasi Penjagaan Kesihatan (Integrated Healthcare Cluster – IHC) yang kami bangunkan menerusi kerjasama awam-swasta. IHC bakal menjadi pusat sehenti yang mempercepatkan pengkomersilan R&D tempatan dan penggunaan teknologi dalam penjagaan kesihatan dan ubat-ubatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar.

MRANTI IHC telah dilancarkan tahun lalu dan akan dibangunkan di kawasan seluas 10 ekar. Ia bakal mempercepatkan penerokaan dan pembangunan penjagaan kesihatan dan teknologi perubatan.

Program pembinaan keupayaan serta kemudahan makmal dan penyelidikan akan disediakan untuk membolehkan inovator menguji idea, prototaip, aplikasi dan pelbagai penyelesaian berkaitan menerusi penggunaan teknologi, peralatan dan kemudahan 4IR dalam persekitaran sebenar.

Turut hadir untuk menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama berkenaan adalah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC), Farizal Jaafar,.

“Bagi pihak MHTC, saya ingin merakamkan tahniah kepada SJMC, finalis bagi Program Hospital Perubatan Perdana (Program FMTH) atas kejayaan melancarkan Connected Care dan SeniorConnect.

“Pencapaian ini menjadi contoh semangat ‘people caring for people‘ dan mengetengahkan peranan pendigitalan penjagaan kesihatan yang semakin penting, dengan membawakan perkhidmatan lebih dekat kepada pesakit dan meningkatkan pengalaman pesakit.

“Ini amat seiring dengan matlamat Program FMTH untuk meningkatkan kecemerlangan perubatan dan perkhidmatan.

“MHTC juga berasa bangga menyaksikan kerjasama strategik antara SJMC dan MRANTI, penggerak digital utama dalam Program FMTH.

“Perkongsian ini merupakan contoh pakatan yang sangat baik yang memberikan takrifan semula terhadap piawaian industri dan meningkatkan penyediaan penjagaan kesihatan.

“Kami berasa bangga dengan Program FMTH yang berupaya memupuk kerjasama yang lebih besar dalam ekosistem pelancongan penjagaan kesihatan. Hari ini, kita meraikan pemusatan teknologi penjagaan kesihatan berwawasan dan penjagaan yang penuh ihsan.

“Pada masa sama, kita berusaha untuk meningkatkan penjagaan pesakit dan mendekatkan kita kepada aspirasi untuk menyediakan Pengalaman Pelancongan Penjagaan Kesihatan Terbaik,” tambah beliau.

Mendekatkan Penjagaan Kesihatan Dengan Anda Menerusi Connected Care

TeleConnect menyediakan kakitangan perubatan berdedikasi secara percuma kepada sesiapa sahaja dengan memberikan bantuan segera untuk pertanyaan perubatan, temujanji klinik, dan banyak lagi.

Sementara itu, HomeConnect mengkhusus dalam khidmat rawatan penting, penjagaan kebersihan, balutan luka, mengurus ubat-ubatan dan pendidikan penyakit kencing manis untuk mereka yang memerlukan penjagaan di rumah atau selepas rawatan di hospital. 

Kit SeniorConnect termasuk strip glukosa darah, glukometer, alat tekanan darah, oksimeter nadi, termometer, modem WiFi dan gateway ke SJMC.

Peralatan ini tertakluk kepada preskripsi doktor, sekali gus memastikan pemantauan penjagaan kesihatan secara peribadi. Pesakit mempunyai pilihan untuk memantau bacaan kesihatan mereka sendiri menerusi pautan yang boleh diakses oleh penjaga atau ahli keluarga tertentu berdasarkan permintaan.

Kit SeniorConnect diperakui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (Medical Device Authority – MDA).  Perkhidmatan ini tersedia untuk pesakit SJMC berdasarkan langganan.

GPConnect pula bakal menawarkan kemudahan tambahan dari segi khidmat pakar perunding kardiologi yang dipercayai selain doktor umum untuk masalah berkaitan jantung yang membolehkan penilaian pakar dari jauh.

ICUConnect akan memperkenalkan pemantauan jarak jauh oleh jururawat unit jagaan rapi (ICU) yang membantu penjaga merawat pesakit kritikal dalam suasana selesa di rumah sendiri. HospitalConnect bertujuan untuk menyediakan tempoh rawatan di hospital yang lebih singkat dengan pemantauan selepas rawatan yang menyeluruh untuk pelbagai keperluan pesakit. 

Komitmen ke arah kecemerlangan ini membolehkan SJMC meraih pengiktirafan daripada Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC).

Sebagai salah satu daripada empat finalis Program Hospital Perdana 2021-2025 yang terpilih, SJMC berbangga untuk mewakili penjagaan kesihatan Malaysia di peringkat antarabangsa. Ia sekaligus mengetengahkan komitmennya untuk menyampaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang cemerlang kepada pesakit tempatan dan antarabangsa. 

Untuk maklumat lanjut mengenai SJMC dan perkhidmatan yang disediakannya, layari https://subangjayamedicalcentre.com/. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya