PETALING JAYA: Public Bank Berhad menjadi bank pertama di Malaysia untuk menyertai program Eco-Schools, yang mempelopori pembelajaran iklim menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan projek di sekolah-sekolah termasuk pelaksanaan projek untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urusnya (ESG), Public Bank bersama-sama dengan Green Growth Asia Foundation (GGAF), memeterai perjanjian penajaan untuk melaksanakan program Eco-Schools tersebut, melibatkan 20 buah sekolah di Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur bagi tempoh selama 3 tahun, mulai tahun 2023 hingga tahun 2025, dengan penajaan berjumlah RM1.2 juta.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr. Tay Ah Lek berkata: “Selaku pembiaya, kami percaya bahawa pembiayaan untuk kelestarian akan memacu pembentukan nilai mampan pada masa hadapan untuk bank dan pihak-pihak yang berkepentingan dengannya.
“Seperti mana yang pernah disuarakan oleh Benjamin Franklin suatu masa dahulu, “pelaburan dalam ilmulah yang membawa pulangan terbaik.”
Perjanjian penajaan itu ditandatangani oleh Tan Sri Tay dan Pengarah Eksekutif GGAF, Dr. Mahadi Mohamad dengan disaksikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Datuk Chang Kat Kiam, dan Ketua Pegawai Eksekutif GGAF, Dr. Balamurugan Ratha Krishnan, pada 11 Julai 2023 di Menara Public Bank.
Ah Lek berkata, sokongan terhadap ESG merupakan peluang untuk membina dunia dalam mana kesejahteraan ekonomi saling wujud dengan pemeliharaan alam sekitar dan keharmonian sosial.
“Kami telah membuat komitmen penting untuk kelestarian – mengimbangi mandat kami selaku sebuah institusi kewangan sambil menyokong faktor-faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus, atau ESG, sebagai sebahagian daripada urusan perniagaan biasa kami.
“Selain komitmen ke arah keneutralan karbon menjelang tahun 2030, dan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050, kami juga komited untuk menggerakkan sebanyak RM48 bilion bagi pembiayaan mesra ESG menjelang tahun 2025,” katanya.
Selain memberi pendidikan kepada generasi masa hadapan tentang iklim dan alam sekitar, kerjasama dengan GGAF ini juga akan menyokong inisiatif kuantitatif lain, seperti pungutan data dan kaji selidik berkaitan gas rumah hijau untuk memudahkan inisiatif selanjutnya ke arah mencapai matlamat karbon sifar bersih global.
GGAF merupakan organisasi bukan untung yang ditubuhkan di Malaysia, yang berhasrat untuk menerajui pelbagai inisiatif untuk menggalakkan strategi pertumbuhan hijau baharu bagi mengimbangi pembangunan ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Sebagai Anggota Rasmi gabungan Yayasan untuk Pendidikan Alam Sekitar (Foundation for Environmental Education), GGAF telah melaksanakan program Eco-Schools ini sejak tahun 2016. Setakat ini, terdapat 206 buah sekolah dari Melaka, Perak dan Kedah yang mengambil bahagian dalam program Eco-Schools ini, dengan lebih daripada 15 buah sekolah telah memperoleh Anugerah International Green Flag.
“Kerjasama yang unggul antara Public Bank dengan GGAF ini merupakan pencapaian penting dalam usaha kolektif kami ke arah kelestarian alam sekitar dan pemerkasaan golongan belia,” kataPengarah Eksekutif, Green rowth
Asia Foundation, Dr. Mahadi Mohamad.
Dr. Mahadi menambah kata tajaan daripada Public Bank itu membuka peluang kepada lebih banyak kemungkinan dan membuka jalan untuk masa hadapan yang lebih baik dan mampan.
Komitmen berwawasan Bank terhadap kelestarian alam sekitar bukan sahaja memberi inspirasi kepada generasi muda, malah segenap masyarakat untuk mengambil langkah proaktif bagi melindungi planet kita.
Kerjasama dengan GGAF ini merupakan inisiatif Public Bank ke arah mencapai matlamat ESG yang berperanan selaku pemangkin yang berpengaruh ke arah kebaikan dan penyertaan dalam pergerakan global ini adalah bagi menangani cabaran global, selain menyumbang kepada transformasi ekonomi dan kesejahteraan sosial di negara ini. – UTUSAN











