Operasi SAR mangsa tragedi kepala air libatkan kawasan 60 km - Utusan Malaysia

Operasi SAR mangsa tragedi kepala air libatkan kawasan 60 km

HASSAN 'As'ari Omar memakaikan jaket keselamatan kepada salah seorang anak yatim pada  Program Kesedaran Kebakaran BSN di Kuala Terengganu, petang tadi. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR)  mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman telah melibatkan kawasan pencarian hampir 60 kilometer (km) sejak 2 Julai lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar, seramai sembilan daripada 10 mangsa ditemukan menerusi operasi dijalankan pelbagai agensi itu.

Beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan usaha pencarian sejak awal sehingga kini dengan operasi masih dijalankan di peringkat balai bagi mencari seorang lagi mangsa.

“Bilik gerakan operasi di peringkat kerjasama agensi telah ditutup, namun kerja-kerja mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa masih dijalankan secara skala kecil.

“Ianya membabitkan pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh dan Chukai sambil dipantau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Di pihak JBPM, kami berpuas hati kerana telah menyelesaikan 100 peratus skop pencarian dari lokasi kejadian sehingga ke Kuala Kemaman sejauh 59.1km,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Kesedaran Kebakaran bersama lima buah sekolah anak yatim anjuran Bank Simpanan Nasional (BSN) di BBP Kuala Terengganu di sini, petang ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pasukan kecil misi pencarian masih giat mencari seorang lagi mangsa yang dikhuatiri masih hilang dalam tragedi itu, Putri Nor Fatin Karim, 14.

“Kawasan penemuan bag sandang milik bapa Putri Nor Fatin, Karim Abdullah, 39, semalam, turut diteliti lebih rapi bagi mendapatkan petunjuk baharu,” ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang pada 1 Julai lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan Muhammad Fikri, bakal menantu ahli keluarga itu dari Batu Pahat, Johor dihanyutkan kepala air berikutan hujan lebat berlaku.

Sejak 2 Julai lalu, sembilan mangsa yang telah ditemukan ialah Karim dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta lima anak mereka iaitu Putri Alleya Maisarah,16, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4. 

Sementara itu, anak tiri pasangan itu, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, ditemukan pada 4 Julai manakala tunangnya, Muhammad Fikri Saliman, 24, pula 7 Julai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya