TAIPEI: Taiwan tidak mengesan sebarang pesawat tentera China di sekitar pulau itu sepanjang sembilan daripada 10 hari terakhir, menimbulkan persoalan dalam kalangan pakar mengenai pengurangan drastik operasi penerbangan tentera Beijing.
China mendakwa Taiwan adalah sebahagian daripada wilayahnya dan pernah mengancam untuk menggunakan kekerasan untuk mengawal pulau itu.
Beijing meningkatkan tekanan ketenteraan ke atas Taiwan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan mengerahkan jet-jet pejuang dan kapal perang di sekitar pulau itu hampir setiap hari.
Namun sejak 28 Februari, hanya dua pesawat China direkodkan dalam tempoh 24 jam di kawasan berhampiran Taiwan, menurut kiraan angka AFP yang dikeluarkan setiap hari oleh kementerian pertahanan.
Sebanyak 86 pesawat direkodkan pada tahun lalu. Ini merupakan tempoh terpanjang tanpa sebarang pengesanan pesawat sejak AFP mula merekodkan data pada 2024.
Secara purata, enam kapal perang China dikesan setiap hari di sekitar pulau itu dalam tempoh 10 hari yang lalu, sama seperti tahun lepas.
Operasi penerbangan tentera China di sekitar Taiwan turut menurun kira-kira 42 peratus pada Januari dan Februari berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jumlah kapal perang pula mencatat penurunan kira-kira 4.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pakar membuat spekulasi mengenai sebab penurunan mendadak penempatan pesawat China.
Ia kemungkinan disebabkan perhimpunan politik tahunan China yang berlangsung di Beijing dan pembersihan dalam tenteranya daripada skandal rasuah baru-baru ini.
Antara sebab lain termasuk lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang dijadualkan ke Beijing akhir bulan ini untuk bertemu rakan sejawatannya, Xi Jinping, serta konflik di Asia Barat.
Seorang pakar ketenteraan di Institut Penyelidikan Pertahanan dan Keselamatan Negara Taipei, Su Tzu-yun, berpendapat Beijing mungkin cuba melemahkan sokongan awam terhadap rancangan Taiwan untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanannya. – AFP










