Israel lancar operasi darat di selatan Lubnan - Utusan Malaysia

Israel lancar operasi darat di selatan Lubnan

SEORANG lelaki memeriksa sebuah bangunan yang musnah akibat serangan Israel di selatan pinggir Beirut semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Tentera Israel berkata pada Isnin bahawa mereka telah memulakan apa yang dianggap sebagai operasi darat terhad terhadap Hizbollah di selatan Lubnan.

Menurut kenyataan tentera itu, dalam beberapa hari kebelakangan ini, Pasukan Pertahanan Israel  (IDF) dari Divisyen ke-91 memulakan operasi darat terhad dan bersasar terhadap kubu kuat utama Hizbollah di selatan Lubnan.

Operasi itu dilancarkan dengan tujuan memperkukuh kawasan pertahanan hadapan Israel, kata kenyataan tersebut.

“Aktiviti ini adalah sebahagian daripada usaha  lebih luas untuk menubuhkan dan mengukuhkan kedudukan pertahanan hadapan, termasuk memusnahkan infrastruktur (Hizbollah)  serta menghapuskannya yang beroperasi di kawasan tersebut.

“Sebelum pasukan memasuki kawasan tersebut, IDF telah melancarkan serangan menggunakan artileri dan Tentera Udara Israel ke atas pelbagai sasaran (Hizbollah) bagi mengurangkan ancaman dalam persekitaran operasi,” kata kenyataan tentera rejim Zionis.

Lubnan terheret ke dalam perang pada 2 Mac apabila Hizbollah yang disokong Iran menyerang Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Ia  kemudian mendorong Israel melancarkan serangan udara ke atas negara jiran itu serta pencerobohan tentera ke kawasan sempadan.

Sebelum itu,  Israel dijangka meluluskan  pergerakan  450,000 askar simpanan sebagai sebahagian daripada persediaan untuk kemungkinan pencerobohan darat di Lubnan.

Perbadanan Penyiaran  Awam Israel, KAN, melaporkan cadangan mobilisasi tersebut akan dibentangkan tidak lama lagi kepada menteri kerajaan dan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri dan Pertahanan Parlimen untuk kelulusan.

Menurut KAN,  had mobilisasi askar simpanan yang dibenarkan adalah kira-kira 260,000 anggota, berdasarkan keputusan kerajaan Januari lalu, menjadikan permintaan baharu itu hampir dua kali ganda had sedia ada.

Bagaimanapun, tentera Israel pada Isnin mendakwa telah memulakan ‘operasi darat terhad’ terhadap Hizbollah di selatan Lubnan.

Menurut KAN,  tentera Israel baru-baru ini menyasarkan beberapa infrastruktur di selatan Lubnan, termasuk sebuah jambatan merentasi Sungai Litani, dengan mendakwa ia digunakan sebagai laluan kumpulan Hizbollah.

Lebih 800 orang telah terbunuh dalam tindakan ketenteraan Israel, menurut angka daripada Kementerian Kesihatan Lubnan.

Mereka termasuk 12 petugas kesihatan yang menurut kementerian kesihatan awam negara itu terbunuh dalam satu serangan ke atas sebuah pusat perubatan pada malam Jumaat. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN