MINNEAPOLIS: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan penamatan operasi penguatkuasaan imigresen secara besar-besaran di Minneapolis, Minnesota, kelmarin.
Penguatkuasaan itu ditamatkan selepas dua warganegara Amerika Syarikat (AS) maut ditembak anggota pihak berkuasa sehingga mencetuskan protes besar-besaran dan penutupan sekolah di seluruh negeri selama dua bulan.
Dalam satu sidang akhbar di Minneapolis, bekas pemangku pengarah agensi Penguatkuasaan Kastam dan Imigresen (ICE) AS, Tom Homan yang kini ditugaskan mengawal sempadan bahagian selatan dan utara negara berkenaan menyatakan bahawa proses pengurangan ribuan ejen persekutuan mula berkuat kuasa selepas beliau mengemukakan cadangan tersebut sebelum dipersetujui Trump.
Homan menjelaskan bahawa pengurangan ketara anggota penguat kuasa telah pun dijalankan minggu ini dan akan diteruskan sehingga minggu depan sambil mengaitkan keputusan tersebut dengan peningkatan tahap kerjasama antara pihak berkuasa tempatan serta agensi imigresen persekutuan.
Kerjasama ini membolehkan pendatang haram yang ditangkap oleh polis tempatan atas kesalahan jenayah diserahkan terus kepada ejen-ejen imigresen ICE untuk proses pengusiran pada masa akan datang.
Sepanjang operasi tersebut berlangsung, pelbagai video yang tular di media sosial memaparkan tindakan melampau oleh ejen-ejen ICE bersama rakan agensi Siasatan Keselamatan Dalam Negeri melibatkan Operasi Penguatkuasaan dan Pengusiran.
Rakaman tersebut menunjukkan individu yang disyaki bukan warganegara dibawa pergi secara paksa di hadapan anak-anak mereka di luar kawasan sekolah, malah ada yang ditahan ketika sedang bertukang di atas bumbung bangunan.
Insiden ini turut melibatkan penahanan beberapa warga AS yang kemudian dibebaskan dalam tempoh beberapa jam atau hari, memandangkan tindakan menahan rakyat sendiri oleh ejen imigresen adalah menyalahi undang-undang.
Gabenor Minnesota, Tim Walz, memberikan maklum balas melalui hantaran di laman X dengan nada lega namun tegas.
Beliau menyatakan bahawa perjalanan panjang untuk pemulihan negeri itu kini bermula kerana kesan operasi tersebut terhadap ekonomi, sekolah dan kehidupan rakyat tidak dapat diperbaiki dalam sekelip mata.
Walz memberitahu pemberita bahawa rundingan mengenai penamatan ini bermula selepas panggilan telefon beliau kepada Trump bulan lalu dan kedatangan Homan ke Minneapolis yang dihantar oleh pihak Rumah Putih. – AGENSI










