Op Taka: SRPM tidak menolak kemungkinan ada agensi penguatkuasaan lain terlibat

Op Taka: SRPM tidak menolak kemungkinan ada agensi penguatkuasaan lain terlibat

SPRM UiTM
AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan agensi penguatkuasaan lain selain Jabatan Imigresen (JIM) berhubung kes rasuah kelulusan Visa Luar Negara (VLN) warga Bangladesh memasuki Malaysia.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, ini termasuk kemungkinan ada pegawai JIM sendiri yang berada di negara ini turut terlibat ekoran penahanan dua pegawai agensi penguat kuasa yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangladesh pada April lalu.

Terbaharu, seorang pegawai penguat kuasa berpangkat M44 dengan seorang pengarah urusan sebuah syarikat pembekal tenaga kerja ditahan Khamis lalu.

“Mungkin ada penglibatan beberapa agensi penguat kuasa di negara ini, saya tak kata (hanya) Imigresen, saya cakap tentang agensi penguat kuasa lain.

“Sebelum ini ada dua pegawai dari Malaysia di pejabat Kedutaan Malaysia di Dhaka ditahan untuk siasatan. Lanjutan siasatan berkenaan, seorang lagi pegawai bertugas di pejabat kedutaan itu ditahan dan seorang orang awam.

“Hari ini kemungkinan (penahanan dua orang terbaharu) disambung reman kerana siasatan masih memerlukan untuk ditahan reman di bawah sekyen 117,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azam berkata, pihaknya mengesyaki kes yang dijalankan di bawah Op Taka itu, wujud sejumlah wang besar disalurkan melalui sistem ‘hawala’ di beberapa tempat iaitu pemindahan dari tangan ke tangan untuk membawa keluar wang dari negara ini.

Sehubungan itu, katanya, SPRM cuba mengesan wang disyaki dibayar bagi tujuan perolehan visa pelancong yang disalahgunakan untuk masuk ke Malaysia dan ‘hilang’ sebagai pekerja.

“Sepatutnya mereka guna sistem visa ini untuk pekerja tapi sebaliknya kita mengesan lambakan yang masuk Malaysia dari Bangladesh guna sistem visa luar negara dan masuk sini hilang sebagai pekerja.

“Visa itu untuk tujuan pas lawatan sosial, kalau tak silap untuk tempoh tiga bulan. Ini siasatan kita sedang siadat di mana punca berlaku,” katanya.

Azam turut mengesahkan dua pegawai yang ditahan lebih awal masih belum didakwa dan siasatan masih berjalan selain percaya lebih ramai individu akan ditahan.

Pada masa sama, beliau menyerahkan kepada pihak imigresen berhubung kedudukan dua pegawai itu sama ada dikenakan tindakan gantung tugas atau apa-apa tindakan sewajarnya kerana pihak SPRM hanya menjalankan siasatan dan sedang menyiapkan kertas siasatan.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 80,000 visa VLN dipercayai telah diluluskan pegawai agensi penguat kuasa di sebuah Suruhanjaya Tinggi yang ditahan SPRM kerana bersekongkol dengan agensi pe­kerjaan untuk membawa masuk rakyat Bangladesh bekerja di Malaysia sejak 2021.

Hasil kegiatan yang dilakukan sejak Disember 2021 itu, kesemua mereka dipercayai telah mengu­tip wang rasuah dengan jumlah lebih RM100 juta hasil menerima bayaran sekitar RM1,000 ke RM2,000 (AS$ 300 ke AS$500) bagi setiap kelulusan permohonan VLN sedangkan pembayaran visa yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM105 sahaja.

Satu sumber mendedahkan, VLN yang diluluskan disa­lah guna oleh warga Bangladesh yang memasuki negara ini ko­nonnya untuk tujuan melancong namun ada sebahagian daripada mereka menyalahgunakan visa berkenaan untuk bekerja dan terus menetap di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya