Wakil Utusan Malaysia, Kosmo! sedia beri liputan haji terbaik

Wakil Utusan Malaysia, Kosmo! sedia beri liputan haji terbaik

MOHAMAD Hafiz Yusof Al-bakri antara kumpulan petugas media berlepas ke Madinah malam ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pembaca setia Utusan Malaysia dan Kosmo! sekali lagi berpeluang menerima pelbagai laporan terkini liputan yang melibatkan jemaah haji negara ini secara langsung dari tanah suci.

Perkembangan khabar dari sana malahan bakal diberikan fokus oleh wartawan, Mohamad Hafiz Yusoff al-Bakri yang terpilih sebagai petugas media musim haji kali ini.

Ketika ditemui pada program pelepasan kumpulan kedua petugas operasi haji di Pusat Konvensyen Movenpick di sini hari ini, beliau berasa teruja dan bersyukur menjadi tetamu Allah.

“Alhamdulillah memang terperanjat apabila dipanggil mengikuti kursus asas haji semua petugas pada Februari lalu kerana giliran saya pula lambat lagi,” jelasnya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman hadir menyantuni kumpulan petugas media yang terdiri seramai 16 orang iaitu sebahagian daripada 150 orang berlepas ke Madinah malam ini selepas kumpulan pertama seramai 16 orang selamat bertolak ke sana pada 30 April lalu.

Bercerita lebih lanjut, Mohamad Hafiz, 37, yang berasal dari Batu Caves, Selangor itu berkata, mujur beliau mempunyai pengalaman ketika menunaikan umrah pada enam tahun lalu.

“Walau bagaimanapun haji sebenarnya cukup mencabar apatah lagi saya bukan setakat beribadah, bahkan kena bertugas membuat liputan berita pada setiap hari,” tambahnya.

Justeru, beliau mengakui agak berdebar kerana perlu menyesuaikan masa menghantar laporan berita ke tanah air tanpa ada cuti demi tatapan kepada para pembaca akhbar ini.

Pada masa sama, beliau yang sudah berkhidmat dengan Utusan Malaysia sejak 2014 turut perlu berwaspada dengan tempias suhu tinggi akibat cuaca panas amat terik di tanah suci.

Ditanya mengenai persediaan, beliau berkata bahawa pihak TH ada menyediakan kursus intensif selama lima hari termasuk tiga hari di ibu pejabat agensi berkenaan di ibu negara.

“Baki dua hari pula, semua petugas menjalani latihan lagi menerusi Kursus Perdana Haji di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor,” kata Mohamad Hafiz. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN