Dapat tempahan beribu bekas selepas terima sijil Halal - Utusan Malaysia

Dapat tempahan beribu bekas selepas terima sijil Halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bermula dengan berniaga di rumah dan hanya menerima tempahan daripada ahli keluarga dan kenalan rapat, Caramel by AH kini berkembang sehingga ke luar negara.

Rakan usahawan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) ini bukan sahaja berkembang dengan menerima tempahan daripada Singapura malah turut berjaya menembusi beberapa pasaraya dan stesen petrol tempatan.

Pengarah Urusan Hasjay Group Sdn. Bhd., Afiq Safwan Johari berkata, perniagaan yang dimulakan bersama isteri beliau Hanisah Razali pada 2017 itu terus mendapat sambutan selepas berjaya memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut Afiq Safwan, pada mulanya beliau dan isteri hanya menghasilkan sekitar 50 bekas kecil puding karamel di awal perniagaan mereka dan jumlah berkenaan bertambah kepada ratusan bekas selepas berpindah dari rumah ke kedai.

“Kemudian pada 2018 kami terpalit dengan isu mengatakan bahawa Caramel by AH ini merupakan produk bukan muslim memandangkan namanya AH, jadi saya dan isteri mengambil pendekatan untuk memohon sijil halal.

“Alhamdulillah, Allah S.W.T. mempermudahkan urusan saya di mana proses memohon pensijilan halal kami berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah meskipun ramai mendakwa bukan mudah memohon sijil halal.

“Jadi pada 1 Januari 2019 kami mula beroperasi menggunakan sijil halal dan apa yang mengejutkan adalah jualan puding karamel kami bertambah daripada ratusan bekas kepada ribuan bekas sehari,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ujar beliau, pada awalnya dia dan isteri berhasrat untuk memperluaskan perniagaan dengan menghantar puding karamel buatan mereka ke seluruh Semenanjung Malaysia menggunakan kaedah seperti pengeluar roti lain.

“Tapi saya dan isteri terpaksa membatalkan hasrat kami memandangkan puding karamel tidak tahan lama dan boleh rosak dalam perjalanan ke negeri-negeri lain, jadi kami cuba mencari alternatif lain.

“Bagi mengatasi masalah berkenaan kami bersetuju untuk menjalankan kajian dan penyelidikan (R&D) dengan pihak SIRIM Berhad (SIRIM) bagi memastikan Caramel by AH mempunyai jangka hayat lama,” katanya.

Tambah beliau lagi, sekiranya R&D berkenaan berjaya, pihaknya akan mencuba untuk menembus pasaran di Jepun dan Timur Tengah memandangkan terdapat permintaan daripada negara-negara terbabit.

Mengulas lanjut, Afiq Safwan berkata, pihaknya juga sedang dalam perancangan untuk membuka dua buah lagi kilang baharu di Johor bagi memenuhi permintaan di selatan serta Singapura dan Pulau Pinang bagi kawasan utara.

“Semasa pandemik Covid-19 kami telah memenangi pertandingan yang dianjurkan oleh salah sebuah stesen petrol tempatan dan kami boleh meletakkan semua produk kami di kedainya.

“Jadi bagi tujuan itu saya dan isteri bersetuju untuk membuka dua lagi kilang di Johor dan Pulau Pinang selain memenuhi permintaan daripada Singapura,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya