SEREMBAN: Prosiding pendakwaan terhadap seorang wanita Myanmar di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi pertuduhan memberi racun rumput kepada anak perempuannya ditangguhkan.
Ia berikutan mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh berusia 21 tahun yang merupakan etnik Rohingya itu tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi membuat permohonan kepada mahkamah untuk menetapkan tarikh baharu bagi lantikan jurubahasa Myanmar.
Hakim, N.Kanageswari kemudian menetapkan tarikh 28 Mei ini sebagai sebutan semula kes dan lantikan jurubahasa.
Tertuduh berdepan dibawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak yang boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun berserta denda RM50,000 atau kedua-duanya jika didapati bersalah.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita dipercayai memberi racun rumput kepada anak perempuannya yang berusia setahun sebelum turut meminum bahan sama dalam kejadian di Bandar Sunggala, Telok Kemang di sini pada 14 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Suami wanita berkenaan yang juga warganegara Myanmar dan berusia 29 tahun juga ditahan bagi membantu siasatan lanjut. – UTUSAN










