Wanita perlu berani mencuba

Wanita perlu berani mencuba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK reti duduk diam. Itu yang boleh penulis simpulkan mengenai personaliti kali ini.

Semangat dan keberaniannya meneroka bidang-bidang baharu sangat mengagumkan.

Selepas mencipta nama sebagai personaliti televisyen dan wartawan penyiaran selama 11 tahun di TV3, Nik Suryani Megat Deraman terjun ke bidang perniagaan batik serta songket pada 2014.

Dalam masa sama, anak jati Marang, Terengganu ini masih aktif dalam industri media melalui syarikat media dan produksi penerbitan drama TV miliknya.

Mengakui itu adalah percubaan berani mati, katanya dia perlu keluar dari zon selesa untuk mempelajari sesuatu yang baharu.

Bagaimanapun, seni batik dan songket bukanlah asing bagi dirinya memandangkan sudah mengalir dalam darah keturunan sejak 40 tahun lalu.

“Sejak kecil saya sudah melihat seni pembuatan batik dan songket yang diusahakan oleh nenek sebagai tradisi turun-temurun keluarga namun, kami tidak mempunyai

butik, hanya sekadar membuatnya sahaja.

“Selepas nenek meninggal, warisan itu terhenti seketika kerana ayah tidak begitu meminatinya, jadi saya ambil keputusan untuk bawa benda ini ke hadapan dengan

membuka butik, Nang Surya di ibu kota,” katanya kepada Seri.

Kata Nik Suryani, signature untuk butik yang diusahakan sejak sembilan tahun lalu adalah masterpiece atau karya agung dengan penghasilan satu rekaan untuk satu pelanggan sahaja.

Selain itu, figura berusia 43 tahun ini turut aktif berevolusi untuk membangunkan konsep moden dalam seni batik dan songket.

Pencapaian tertingginya setakat ini adalah bekerjasama dengan pereka fesyen tempatan yang menempa nama di peringkat antarabangsa, Zang Toi dalam menghasilkan rekaan baju berasaskan batik dan songket mengikut trend terkini.

“Zang Toi banyak menghasilkan rekaan busana dan gaun batik yang lebih moden.

“Secara tidak langsung ini dapat menarik lebih ramai orang menggayakan batik kerana penggunannya tidak terhad kepada baju kurung atau busana Melayu klasik sahaja,” kongsinya.

SENI BATIK ‘DAHAGAKAN’ TEKNOLOGI

Usahawan jelita ini turut optimis untuk membawa batik dan songket ke peringkat lebih tinggi dan meluaskan penggunaannya dalam masyarakat.

Ia bertepatan hasrat kerajaan untuk merakyatkan batik dalam kalangan orang ramai.

Oleh itu, Nik Suryani mengalu-alukan jika kerajaan sudi menyediakan dana untuk mengaplikasikan teknologi dalam seni pembuatan batik.

“Sejak dahulu lagi saya dengar kerajaan mahu merakyatkan batik kerana ia identiti kita, tetapi harga kenalah mampu milik.

“Salah satu cara untuk menurunkan harga dan meningkatkan pengeluaran ialah kita kena teroka teknologi seperti yang dilakukan Jepun. Mereka sudah mula menggunakan mesin untuk menghasilkan kimono dan diiktiraf oleh kerajaan mereka,” jelasnya.

Selain harga, jelasnya, antara isu lain yang membelenggu pengusaha batik adalah kesukaran untuk menghasilkan produk dalam kuantiti yang banyak.

Hal itu kerana, katanya, batik keluarannya 100 peratus buatan tangan dan dihasilkan secara manual mengikut kaedah tradisional.

Malah, ujarnya, teknik menghasilkan batik seperti canting, buih dan lilin juga kadangkala mengambil masa sehingga dua minggu untuk disiapkan.

“Tempoh masa lama dan penggunaan tenaga kerja yang banyak, jadi macam mana kita nak jual murah?

“Kalau kerajaan atau pihak Kraftangan sudi membantu teroka teknologi dan bekerjasama dengan penggiat batik tidak mustahil produktiviti akan dapat ditingkatkan,” ulasnya lanjut.

TIDAK KEDEKUT ILMU
Walaupun sibuk menguruskan perniagaan, namun rasa cinta terhadap media masih menyala dalam dirinya.

Tidak mahu membazir bakat yang ada begitu sahaja, Nik Suryani turut aktif mengendalikan portal berita miliknya iaitu The Malaya Post.

Selain itu, dia turut mengasaskan Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia bagi menjaga kebajikan pengamal media dan memperkasa ilmu mengenai etika kewartawanan yang betul kepada pengendali-pengendali portal atau individu yang berminat menulis.

Katanya, usaha itu dirintis bersama beberapa bekas rakan wartawan yang mahu mengurangkan berita-berita tidak beretika yang banyak di media sosial.

“Lima ke enam tahun kebelakangan ini kita lihat banyak berita-berita tidak beretika dikongsikan di media sosial.

“Puncanya kerana penulis itu bukan dari latar belakang media, cuma mereka berminat untuk menulis. Jadi, saya asaskan persatuan ini untuk berikan portal-portal itu ‘kiblat’ yang betul supaya tidak merosakkan etika kewartawanan,” jelasnya.

 

SUAMI PENYOKONG SETIA
Suri hati kepada Mohd.Saiful Bukhari Azlan ini bersyukur dipertemukan dengan jodoh yang sangat memahami dan menyokong dalam sentiasa langkah yang diambilnya.

Kata Nik Suryani, selain bapa, suami adalah pendorong kuat untuknya mencuba sesuatu yang baharu dan sentiasa memberikan idea-idea bernas bagi meluaskan lagi perniagaan yang dibangunkan.

“Setiap apa yang saya lakukan, dia akan tambah baik, bahkan sentiasa menyokong isterinya melangkah ke hadapan.

“Apabila saya buntu untuk berkarya, biasanya suami ajak saya melihat fesyen-fesyen terkini di luar negara sambil mencari idea baharu untuk menambah baik rekaan batik kami,” ujar ibu kepada dua anak lelaki ini.

TIDAK FOKUS MASALAH

Mencuba banyak perkara baharu menjadikan jatuh bangun dalam dirinya adalah perkara biasa.
Enggan terlalu larut dalam masalah, katanya, dia sering mengamalkan prinsip untuk tidak memandang sesuatu masalah itu sebagai masalah.

“Semasa pandemik Covid-19, perniagaan merudum, jadi, untuk tidak terlalu memikirkannya, saya ambil keputusan sambung pengajian peringkat sarjana dalam jurusan kewartawanan multimedia.

“Daripada situ saya mendapat kawan baharu dari pelbagai negara dan bertukar-tukar fikiran dengan mereka, itu lebih baik berbanding duduk termenung memikirkan masalah,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya