Syarikat minyak dan gas negara terima manfaat - Utusan Malaysia

Syarikat minyak dan gas negara terima manfaat

petronas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak dijangka kekal dalam jajaran AS$80 hingga AS$85 setong pada 2023 hingga 2025 berikutan gambaran ekonomi tidak menentu termasuk kebimbangan berhubung data China yang lemah, siling hutang Amerika Syarikat (AS) dan pengukuhan nilai dolar AS.

RHB Investment Bank Bhd. mengekalkan unjuran harga minyak pada AS$85 untuk tahun ini dan AS$80 setong masing-masing bagi 2024 dan 2025.

Ia bakal memberikan manfaat kepada syarikat minyak dan gas tempatan terutamanya Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Petronas berpeluang mendapat keuntungan yang lebih tinggi sekali gus meningkatkan dividen kepada kerajaan.

“Petronas juga boleh menggunakan lebihan pendapatan tersebut untuk meningkatkan perbelanjaan modal (capex) yang digunakan untuk meneroka dan semua ini positif kepada negara dalam jangka masa panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Ahmed Razman berkata, harga minyak bergantung kepada beberapa faktor terutamanya keputusan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) sama ada mahu meningkatkan atau mengurangkan pengeluaran.

“Buat masa ini, OPEC sedang mengurangkan pengeluaran, jadi harga minyak meningkat. Sebenarnya sukar untuk menjangkakan harga kerana keputusannya lebih kepada faktor manusia.

“Namun, jika dilihat untuk jangka masa panjang, sukar untuk harga minyak kekal tinggi kerana banyak negara yang sudah dalam proses beralih kepada kenderaan elektrik yang lebih bersih.

“Ini dapat dilihat apabila Petronas juga telah memperuntukkan 20 peratus daripada jumlah perbelanjaan modal (capex) untuk meningkatkan penyahkarbonan dan tenaga boleh baharu (RE) sehingga 2026,” ujarnya.

Sementara itu, Penganalisis RHB Investment, Sean Lim dan Kasamapon Hamnilrat berkata, walaupun harga minyak Brent berada pada paras di bawah unjuran AS$85 setong pada suku kedua tahun ini yang sepatutnya mendatangkan risiko negatif pada unjuran setahun penuh, firma masih menjangka pasaran minyak akan bertambah baik pada separuh kedua 2023.

“Dalam laporan bulanan OPEC bagi Mei, permintaan minyak masih diunjurkan akan meningkat sebanyak 2.3 juta tong sehari (mbpd) kepada 101.9 mbpd pada 2023.

“Walaupun angka sebegini masih berisiko dikurangkan, kami berpandangan bahawa pengaruh OPEC+ tetap lagi utuh dan strateginya untuk melindungi pasaran minyak melalui langkah pemotongan pengeluaran masih lagi berkesan,” katanya dalam nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun keputusan mesyuarat menegaskan bahawa OPEC+ akan terus bertekad menyokong dan memberikan kestabilan kepada pasaran minyak, bank pelaburan itu mengambil pendirian yang agak neutral kerana impak yang minimum terhadap pasaran minyak.

“Kami percaya langkah pengurangan pengeluaran tambahan secara sukarela sebanyak sejuta tong sehari (1mbpd) oleh Arab Saudi akan memberikan lebih sokongan pada harga jika ia dilanjutkan sehingga akhir tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya