BRUSSELS: Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin bersetuju untuk mengenakan sekatan baharu terhadap peneroka haram Yahudi susulan keganasan yang dilakukan ke atas rakyat Palestin.
Keputusan ini dicapai selepas perubahan kepimpinan kerajaan di Hungary bagi menamatkan sekatan yang berlarutan selama berbulan-bulan.
“Sudah tiba masanya untuk kita bergerak daripada kebuntuan kepada tindakan,” kata seorang diplomat EU, Kaja Kallas, semasa mengumumkan lampu hijau bagi sekatan tersebut.
Beliau turut menambah bahawa sebarang bentuk ekstremisme dan keganasan akan membawa padah.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot menyatakan bahawa EU menyasarkan organisasi utama Israel yang bersalah menyokong penjajahan ekstremis di Tebing Barat, termasuk pemimpin-pemimpin mereka. Seramai tujuh individu atau organisasi peneroka haram Yahudi telah disenaraihitamkan.
Sebelum ini, langkah tersebut disekat oleh bekas Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban. Bagaimanapun, penyingkiran pemimpin nasionalis tersebut oleh Peter Magyar yang partinya memenangi pilihan raya telah membuka jalan kepada penarikan balik veto berkenaan.
Selain peneroka haram Yahudi, blok itu juga bersetuju untuk mengenakan sekatan ke atas wakil daripada kumpulan pejuang Palestin, Hamas.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengutuk tindakan tersebut dan menyifatkan EU mengalami ‘muflis moral’ kerana menyamakan warganegara Israel dengan kumpulan pejuang.
Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir, turut melabel EU sebagai antisemitik.
Tebing Barat yang diduduki kini dicengkam keganasan hampir setiap hari melibatkan tentera dan peneroka haram Yahudi sejak bermulanya perang Gaza pada Oktober 2023.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), peluasan penempatan haram Israel pada 2025 telah mencecah tahap tertinggi sejak data mula direkodkan pada 2017.
Walaupun sekatan terhadap peneroka telah dipersetujui, menteri-menteri luar EU masih belum mencapai kata sepakat untuk mengambil langkah lebih drastik, seperti mengharamkan perdagangan produk dari penempatan haram di Tebing Barat.
Buat masa ini, cadangan tersebut masih dalam perbincangan lanjut sebelum sebarang keputusan muktamad diambil. – AFP











