KDA bangkit tewaskan Sabah 2-1

KDA bangkit tewaskan Sabah 2-1

LEE Tuck ketika beraksi bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menutup perjalanan pusingan pertama Liga Super musim ini dengan kemenangan apabila mereka menundukkan Sabah FC 2-1 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Sebaik bermula, perlawanan berlangsung rancak namun pasukan dari negeri di bawah bayu kendalian Datuk Ong Kim Swee terlebih dulu berada di depan seawal minit ke-7 menerusi jaringan pemain pertahanan mereka, Gabriel Peres.

Gol terhasil apabila pertahanan import dari Brazil itu bijak mencari ruang dalam kotak penalti untuk menyambut sepakan percuma daripada kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar. Gabriel yang tidak dikawal menanduk kencang untuk menewaskan penjaga gol Sang Kenari, Ifwat Akmal.

Minit ke-30, rentak permainan Sabah terjejas apabila penyerang mereka, Jailton Paraiba terpaksa dibawa keluar dan dihantar ke hospital dengan ambulans setelah mengalami kecederaan akibat bertembung dengan ‘orang besi’ KDA FC, Bojan Ciger.

JAILTON Paraiba terpaksa dihantar ke hospital setelah mengalami kecederaan akibat bertembung dengan Bojan Ciger pada aksi Liga Super Kedah menentang Sabah di Stadium Darul Aman, Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Permainan selepas itu seolah-olah ‘berat sebelah’ dengan bola lebih banyak berlegar di kawasan pelawat. Serangan menggila dilakukan KDA akhirnya membuahkan hasil apabila pemain naturalisasi negara, Lee Tuck menggunakan kepantasannya untuk menyambar bola hantaran Manuel Hidalgo lalu berjaya menewaskan penjaga gol pelawat, Damien Lim untuk gol penyamaan pada minit ke-40.

Tidak terhenti di situ, pasukan tuan rumah terus berusaha menambah jaringan namun Damien bertindak cemerlang menafikan percubaan kapten Sang Kenari, Manuel Ott pada minit terakhir separuh masa pertama ketika kedua-dua mereka berada dalam kedudukan satu lawan satu.

Bersambung babak kedua, KDA sekali lagi hampir menambah jaringan namun hantaran Lee Tuck kepada Willian Lira berhampiran gawang lawan pada minit ke-47, hanya beberapa inci melepasi kepala penyerang dari Brazil itu ketika Damien sudah berada jauh daripada posisi untuk menyelamatkan pintu gol.

Minit ke-69, giliran Hidalgo pula membuat percubaan dari dalam kotak penalti namun sepakan kencangnya sedikit tersasar ke kanan gawang pelawat.

Hanya dua minit berselang, penantian penyokong KDA untuk pasukan itu mendapat gol kedua berakhir setelah Lee Tuck meluru dari belakang untuk melepaskan rembatan di dalam kotak penalti, ketika keadaan kelam kabut di depan gawang pasukan Sabah.

Minit ke-81, Hidalgo sekali lagi membuat percubaan dari dalam kotak penalti. Rembatan deras dilakukannya bagaimanapun tepat ke arah Damien untuk ditampan keluar.

Pada minit-minit akhir perlawanan, Gabriel memiliki dua peluang untuk menyamakan kedudukan buat Sabah, namun dua tandukan dilakukannya gagal menemui sasaran dengan satu daripadanya didakap kemas Ifwat, manakala satu lagi tersasar ke kiri gawang.

KDA membalas percubaan menerusi pemain gantian, Jonathan Balotelli. Percubaan dilakukannya yang melepasi celah kelangkang Damien berjaya diselamatkan salah seorang pemain pelawat sebelum bola sempat melintasi garisan gol. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya