MATAHARI yang dikenang oleh penulis buku Mengingat Matahari, Rosli K. Matari bukan sekadar jantung yang tergantung dan bercahaya di dada langit, bahkan lebih daripada itu, sebagai simbol sebuah perjalanan yang wajib ditempuh oleh sang manusia.
Mengingat Matahari adalah sejumlah puisi Rosli yang mengenang begitulah hidup dan usia manusia, mirip wajah hari yang berubah dan akhirnya hilang di hujung dinihari.
Rosli dinobatkan sebagai Pemenang Utama Hadiah Puisi T. Alias Taib disampaikan oleh Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan. Judul asalnya Bunga Anggerik di Belakang Mula Mekar, Tetapi Epal Masih Tidur adalah muatan sajak yang baik sering mencerminkan kematangan dan rasional penulis.
Rosli menjelaskan bagaimana perubahan hari dari pagi ke malam menjadi sebuah perbandingan usia manusia.
“kulupakan matahari,” kata daun,
“seperti kulupakan embun,”
senja resap, senyap dan lenyap
malam bergegas dengan gelap
Sebanyak 170 penyertaan diterima untuk sayembara kali ini termasuk finalis akhir dengan buku mereka, Empat Musim di Bibir Emak (Sarah Ross), Bunga Bengkok di Dada (Khanafi), Luka Mencair Sebagai Sunset (Naseer Mikraj) serta Warna Manusia dan Oyen Melukis Sinekdok (Afiifah Shariha).
Ketua Pegawai Eksekutif Kata-Pilar Books, Rashdan Fitri berkata, siri sayembara ketiga yang dianjurkan adalah untuk menggilap dan mengetengahkan bakat baharu dan muda dalam penulisan puisi selain mengisi kelompongan penganjuran sayembara puisi sejak beberapa tahun kebelakangan.
“Seiring dengan sambutan baik terhadap dua edisi Sayembara Puisi Kata-Pilar, kami mengambil inisiatif untuk mengabadikan ketokohan T. Alias Taib sebagai ikon sastera dan puisi terutamanya dalam kalangan pembaca generasi baharu.
“Usaha ini dapat mengeratkan khalayak sastera terutama generasi baharu dengan karya dan ketokohan beliau. Selain mampu meletakkan hadiah puisi ini sebagai satu mercu penting perkembangan sastera negara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Pelancaran Karya Pemenang Hadiah Puisi T. Alias Taib di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) baru-baru ini.
T. Alias Taib merupakan pengarang tanah air yang banyak memfokuskan kepada penulisan puisi. Karya-karya beliau banyak menerima anugerah dan sering diperkatakan secara kritis dan meluas dalam kalangan pembaca dan pengkaji sastera selama berpuluh tahun. Sehingga hari ini, karya beliau masih mendapat tempat bahkan menjadi buruan termasuk dalam kalangan generasi baharu.
Mengulas mengenai penyertaan kali ini, ketua juri yang juga penulis novel dan cerpen, Syed Mohd. Zakir Syed Othman Al-Yahya dikenali sebagai SM Zakir merasakan percubaan sesetengah penulis untuk menghasilkan sebuah manuskrip yang eksperimental adalah sesuatu yang mengujakan dan wajar dipuji.
“Namun begitu, hasil kepada ‘eksperimen’ ini boleh menjadikan karya itu gagal atau sebaliknya. Dalam masa sama, dapat kita lihat sebahagian manuskrip masih menggunakan bentuk dan gaya pengucapan konvensional, ia memberikan sebuah bentuk karya yang kemas di samping mesejnya bermoral tinggi.
“Mengingat Matahari mengungguli sayembara kali ini kerana menonjol dengan kelebihannya yang tertumpu kepada pengalaman dan kejelasan penulis,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE