MANILA: Filipina pada Isnin menuduh nelayan China menuang sianida ke dalam perairan di Kepulauan Spratly, kawasan panas dalam Laut China Selatan yang dipertikaikan dan pernah menjadi lokasi beberapa pertembungan dengan kapal China.
Beijing mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan yang strategik itu sebagai miliknya, walaupun keputusan mahkamah antarabangsa menyatakan tuntutan tersebut tidak mempunyai asas undang-undang.
Majlis Keselamatan Negara Filipina (NSC) mendakwa pencemaran bermula sejak tahun lalu di sekitar Second Thomas Shoal dalam rangkaian Spratly, kawasan berhampiran laluan perkapalan penting serta dipercayai kaya dengan sumber mineral.
“Penggunaan sianida di Ayungin Shoal merupakan satu bentuk sabotaj yang bertujuan membunuh populasi ikan tempatan, sekali gus menafikan sumber makanan penting kepada anggota tentera laut,” kata Penolong Ketua Pengarah NSC, Cornelio Valencia dalam satu sidang media, menggunakan nama Filipina bagi terumbu tersebut.
Beliau menambah tindakan itu turut mengancam anggota tentera laut melalui pendedahan kepada air tercemar, pengambilan ikan beracun serta kerosakan terumbu karang.
Manila dan Beijing mempunyai sejarah panjang pertikaian maritim di kawasan itu, termasuk pertembungan ganas pada Jun 2024 apabila anggota pengawal pantai China bersenjatakan pisau, kayu dan kapak menaiki bot Tentera Laut Filipina.
Kementerian Luar China menyifatkan dakwaan baharu itu sebagai ‘sandiwara’.
“Ia sama sekali tidak boleh dipercayai dan tidak perlu dibantah,” kata jurucakap, Guo Jiakun dalam satu taklimat.
Beliau turut menuduh Filipina mengganggu bot nelayan China yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara sah.
Valencia berkata, Manila telah membangkitkan isu itu dengan Beijing dalam satu mesyuarat baru-baru ini tetapi tidak menerima sebarang jawapan rasmi.
Beliau menambah kerosakan terumbu akibat sianida juga boleh menjejaskan struktur asas kapal lama BRP Sierra Madre, sebuah kapal perang era Perang Dunia Kedua yang menjadi penempatan tentera Filipina.
Kapal itu sengaja dilabuhkan di terumbu berkenaan pada tahun 1999 untuk menegaskan tuntutan wilayah Filipina.
Jurucakap Tentera Laut Filipina, Laksamana Muda Roy Vincent Trinidad berkata, tentera merampas 10 botol sianida daripada bot sampan yang dilancarkan dari kapal nelayan China pada Februari, Julai dan Oktober 2025.
Beliau berkata, tentera juga melihat kru sampan China lain mencemarkan perairan berhampiran terumbu itu bulan lalu, dan ujian air kemudian didapati positif sianida.
Tiada anggota tentera di atas kapal berkenaan didapati positif bahan beracun tersebut.
Valencia dan Trinidad mendakwa kapal induk nelayan itu mempunyai kaitan dengan tentera laut China.
Valencia berkata, NSC akan menyerahkan laporan minggu depan kepada Kementerian Luar Filipina yang boleh menjadi asas kepada bantahan diplomatik.
Manila juga telah mengarahkan tentera laut dan pengawal pantai untuk memperketat rondaan bagi mengelakkan kerosakan alam sekitar lanjut di kawasan itu.-AFP










