KUALA NERUS: Dakwaan tular dalam media sosial kononnya Kerajaan Malaysia menghantar bekalan diesel ke Filipina adalah tidak benar, sebaliknya berpunca daripada salah faham berkaitan pergerakan logistik perkapalan di perairan Johor.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bekalan diesel berkenaan bukan milik Malaysia dan tidak diproses oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) atau mana-mana syarikat minyak tempatan.
Kata beliau, minyak tersebut dimiliki dan dijual oleh syarikat berpangkalan di Singapura, Vitol, sebelum dihantar ke Filipina.
“Penjelasan daripada Petronas serta Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengesahkan minyak itu bukan milik Malaysia. Sebaliknya, ia telah dijual oleh syarikat berpangkalan di Singapura dan disimpan di gudang di Johor, khususnya di kawasan Tanjung Pelepas,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini hari ini.
Fahmi berkata, dalam konteks perkapalan antarabangsa, kapal yang berada di perairan Johor sering dianggap berlepas dari Malaysia, sekali gus mencetuskan salah faham dalam kalangan pengguna media sosial.
“Realitinya, diesel tersebut bukan diproses di Malaysia, sebaliknya milik Vitol yang telah dijual kepada pihak Filipina, dengan kapal hanya berlepas dari perairan negara ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap penjelasan berkenaan dapat merungkai kekeliruan orang ramai dan mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.
Sementara itu, MTEN sebelum ini mengesahkan bahawa sebanyak 329,000 tong diesel yang dihantar ke Filipina baru-baru ini bukan berasal dari Malaysia seperti dilaporkan beberapa media antarabangsa.
Petronas dalam kenyataan berasingan turut menafikan penglibatannya dalam penghantaran kira-kira 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel ke negara jiran tersebut. – UTUSAN










