PETALING JAYA: Seorang pegawai dan anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM10,000 untuk melepaskan empat pekerja rumah urut disyaki menggunakan pas lawatan sosial bagi tujuan pekerjaan.
Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan kira-kira pukul 11 malam semalam dan 5 pagi tadi sekitar Kuala Lumpur dan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut semalam.
“Kedua-dua suspek dipercayai telah menerima wang rasuah secara tunai berjumlah kira-kira RM7,000 pada pagi 12 April lalu.
“Manaka baki sebanyak RM3,000 telah diserahkan pada malam hari yang sama sebelum mereka ditahan oleh pihak SPRM,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Kedua-dua suspek ditahan remah selama lima hari hingga 17 April ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. – UTUSAN










