Pinda akta percepat pulang wang mangsa scammer

Pinda akta percepat pulang wang mangsa scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan meminda Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan wang yang dirampas daripada jenayah penipuan dalam talian dipulangkan lebih awal kepada mangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya menyedari mangsa ‘scammer’ berdepan masalah ekoran masa yang terlalu lama diambil untuk menerima kembali wang mereka.

Katanya, pindaan akta itu akan membolehkan mangsa terlibat mendapat semula dana yang dicuri dengan syarat pemberian bon disediakan sementara menunggu perbicaraan di mahkamah.

“Saya setuju ia (kes) sekarang ini akan mengambil masa, ramai merayu (wang dipulangkan) kerana kes mahkamah akan berlanjutan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) berhubung langkah kerajaan untuk mempercepatkan proses pemulangan dana yang dicuri kepada mangsa penipuan dalam talian.

Menjawab soalan asal Hong Pin berhubung rancangan memanjangkan masa operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) ke 24 jam sehari bagi membantu mangsa penipuan, Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah melanjutkan tempoh operasi pusat itu.

Anwar berkata, Bank Negara juga telah memaklumkan kepada semua bank di negara ini agar operasi pemantauan aduan daripada pengguna mereka yang menjadi mangsa scam dibuat 24 jam sehari.

“Selain itu, ada usaha ke arah langkah automation supaya pengadu boleh ambil tindakan menghentikan pengeluaran dana dari bank mereka secara serta-merta, ini perkembangan baharu yang dilakukan BNM,” katanya.

Perdana Menteri turut memberitahu Dewan Rakyat, sebanyak 3,595 kes bagi kesalahan penipuan dalam talian disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kerajaan setakat ini mendapat pulangan wang rampasan berjumlah RM34.8 juta.

Selain itu, Anwar berkata, kerajaan juga menambah dana bagi pengoperasian NSRC sebanyak RM10 juta bagi tahun ini menerusi Belanjawan 2023, serta penambahan jumlah pegawai sebagai langkah memperkasakan penguatkuasaan pusat respons berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya