Pelbagai usaha bawa pulang Jho Low 

Pelbagai usaha bawa pulang Jho Low 

jho low
JHO LOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rundingan menerusi saluran diplomatik dan pelbagai usaha lain dilakukan kerajaan untuk mempercepat proses membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, yang terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).   

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuat Notis Merah Interpol terhadap Jho Low atau nama sebenarnya, Low Taek Jho sejak 2018. 

“SPRM sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa luar negara bagi mendapatkan segala maklumat berkaitan dengan Jho Low,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam. 

Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) jika kerajaan akan meminta kerajaan China menghantar pulang Jho Low ke Malaysia, bila dibawa pulang dan syarat-syaratnya. Azalina bagaimanapun tidak memberitahu syarat-syarat yang diminta. 

Katanya, Jho Low dituduh secara ‘in absentia’ dengan satu pertuduhan di bawah subseksyen 28(1)(c) dan dibaca bersama Seksyen 23 Akta SPRM 2009 pada 9 Februari 2020.

Dia turut berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 pada 29 Jun 2019.

Pada 12 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan, siasatan polis terhadap Jho Low yang terbabit dalam kes penyelewengan dana 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC) masih berjalan.

Pada 5 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan berpendirian akan tetap membawa pulang Jho Low ke Malaysia secepat yang mungkin. Beliau bagaimanapun mengakui proses membawa pulang Jho Low adalah sukar.

Katanya, kerajaan sudah berunding dengan beberapa negara untuk mempercepat proses membawa Jho Low pulang, namun, tidak mendedahkan negara-negara yang dirunding mengenai hal itu.

Media melaporkan, penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale’, Bradley Hope mendakwa kerajaan dipercayai berunding dengan China untuk mengekstradisi Jho Low.

Memetik sumber, Hope yang menulis perkara itu dalam satu laman web untuk mengesan Jho Low berkata, rundingan tersebut diadakan semasa kunjungan rasmi Anwar ke China pada Mac lalu.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution mengesahkan notis merah yang dikeluarkan oleh Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap Low masih aktif.

Notis tersebut turut membabitkan lima individu lain yang terlibat dalam skandal 1MDB, antaranya Terence Geh Choh Heng, Casey Tang Keng Chee, Jasmine Loo, Eric Tan Kim Loong dan Nik Faisal Ariff Kamil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.