Harga koko melonjak 5.8 peratus April lalu - Utusan Malaysia

Harga koko melonjak 5.8 peratus April lalu

KANDUNGAN koko melebihi 60 peratus dalam coklat meningkatkan tahap konsentrasi individu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebimbangan gangguan bekalan serta permintaan kukuh global melonjak harga koko dunia sebanyak 5.8 peratus kepada AS$2,823 setiap tan metrik April lalu.

Pensyarah Jabatan Ekonomi dan Perniagaan Tani Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Shri Dewi Applanaidu berkata, situasi berkenaan turut mendorong peningkatan permintaan global bagi koko yang dikisar.

“Jika dibandingkan dengan harga biji koko dunia pada Mac tahun ini, ia memperlihatkan peningkatan sebanyak 14.8 peratus daripada bulan yang sama tahun lepas.

“Kebimbangan terhadap kualiti pengeluaran koko di Afrika Barat akibat penyakit tanaman, kemarau serta kekurangan baja dan racun perosak turut menyokong kepada peningkatan harga koko dunia,” katanya.

Mengulas lanjut, Shri Dewi berkata, industri koko negara mempunyai prospek yang baik khususnya melibatkan industri hiliran memandangkan pasaran coklat Asia mencatat peningkatan secara konsisten sebanyak 6.0 peratus setahun bagi tempoh 2016 hingga 2020.

Katanya, Malaysia kini merupakan negara pemprosesan biji koko kedua terbesar di Asia dan keenam di dunia dengan menyumbang sebanyak 6.8 peratus daripada jumlah kapasiti pengisaran koko dunia.

“Buat masa ini, keluasan penanaman koko serta pengeluaran biji koko di Malaysia tidaklah begitu tinggi jika dibandingkan dengan tahun 1980 hingga 2020.

“Keluasan tanaman koko pada 2021 ialah 5,955 hektar, dengan 5,098 orang pekebun kecil koko serta tujuh ladang koko dan hasil pengeluaran koko pada 2021 adalah sebanyak 361 tan.

“Namun, dalam konteks industri hiliran, Malaysia merupakan antara pusat pemprosesan dan pengisaran biji koko terbesar serta berada dalam kedudukan keenam dunia dan antara barangan koko yang dieskport adalah biji koko, serbuk koko serta coklat,” katanya.

Tambah beliau, terdapat 53 syarikat coklat dan konfeksioneri di Malaysia serta 232 usahawan coklat telah berdaftar dengan Lembaga Koko Malaysia pada 2021.

Menurut Shri Dewi lagi, pengeluaran produk koko seperti coklat turut berkembang pesat di mana eksport coklat meningkat sebanyak 267 peratus daripada RM272 juta kepada RM1 bilion dalam tempoh 11 tahun dari 2010 hingga 2021.

“Jumlah eksport coklat pada 2021 adalah sebanyak 68,000 tan, bernilai RM1 bilion dengan kebanyakan produk coklat dieksport ke Jepun (20.7 peratus), China (12.5 peratus) dan ke negara-negara ASEAN seperti Thailand, Filipina dan Indonesia.

“Eksport coklat dijangka terus meningkat berikutan permintaan tinggi dari luar negara dimana ia menyumbang 15 peratus daripada jumlah nilai eksport produk berasaskan koko,” katanya.

Ditanya mengenai sumbangan koko kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, Shri Dewi berkata ia menunjukkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus kepada RM 1.64 billion pada 2020 berbanding RM1.56 bilion tahun sebelumnya.

Katanya, biarpun keluasanan penamanam dan pengeluaran biji koko di Malaysia tidak begitu tinggi jika dibandingkan dengan tahun 1980 hingga 2020, koko masih merupakan antara tanaman tanaman komoditi yang menyumbang kepada pendapatan negara.

“Pada 2021, nilai eksport koko serta produk berasaskan koko menyumbang sebanyak RM6.87 bilion kepada KDNK negara dan angka ini memperlihatkan peningkatan 9.5 peratus jika berbanding RM6.27 bilion pada tahun 2020.

“Pada tahun lalu, nilai eksport koko berjumlah RM7.8 bilion dengan melepasi angka sasaran iaitu RM7 bilion seperti yang disasarkan dalam Dasar Agrokomoditi Negara 2021-2030,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.