PETALING JAYA: Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 akan kembali beroperasi 24 jam bermula pukul 12 tengah malam, malam ini..
Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, operasi penuh itu dibuat selepas pelan tindakan komprehensif selesai dilaksanakan dengan penyelarasan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta disahkan penilai rel bebas.
Menurutnya, pelan tindakan itu dilaksanakan sejak November 2025 merangkumi tiga peringkat utama iaitu pemeriksaan dan kerja pembaikan, ujian serta pengesahan sistem, selain operasi percubaan.
Katanya, ujian ketahanan turut dijalankan bagi tempoh 24 jam dan 48 jam dalam keadaan melibatkan penumpang serta tanpa penumpang.
“Sejak Januari 2026, Aerotrain merekodkan 100 peratus Operational Service Availability,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
MOT berkata, waktu kejuruteraan harian dari pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi akan diteruskan selepas ini.
Katanya, dalam tempoh tersebut, sebuah tren akan terus beroperasi membawa penumpang sementara kerja pemeriksaan rutin dan penyelenggaraan dijalankan.
“Kementerian Pengangkutan melalui APAD akan terus menjalankan pemantauan kawal selia terhadap operasi Aerotrain.
“Malaysia Airports pula kekal bertanggungjawab memastikan standard perkhidmatan yang ditetapkan di bawah pelan ini terus dipatuhi,” katanya. – UTUSAN










