PETALING JAYA: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau mesra dikenali sebagai Zamsaham tidak takut atau gentar dengan ‘amaran’ ejen bekas jurulatih mereka, Choi Moon-sik yang mahu membawa isu dengan kelab itu ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Tegasnya, sejak mengambil alih kelab TRW (The Red Warriors) pada 2020, beliau antara pemilik kelab paling banyak berhubung dengan FIFA bagi menyelesaikan hutang-hutang dengan bekas pemain sebelum ini.
“Tiada masalah (bawa ke FIFA), saya semasa ambil bola sepak Kelantan saya adalah pemilik kelab paling banyak hantar surat ke FIFA untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji melibatkan tidak kurang hampir 10 perpindahan duit iaitu pemain-pemain bola yang minta hutang dengan Kelantan FC.
“Kita sudah berurusan dengan FIFA, kita selesai semua masalah dan sekarang bukan dia nak bawa ke FIFA. Sebenarnya saya cakap dengan saya punya peguam anda bawa kes agen (Myeongho Jeong) dengan ketua jurulatih Moon-sik pergi ke FIFA.
“Kita bukannya bodoh menunggu orang saman kita, kita juga ada hak untuk saman dia,” katanya dalam satu temubual bersama Astro Arena, semalam.
Terdahulu, Jeong memaklumkan telah bersiap sedia membawa kelab itu ke FIFA.
Ejen kepada bekas jurulatih Kelantan yang ‘direhatkan’ itu, turut memberitahu bakal menyaman Kelantan FC dan telah melantik barisan peguam tempatan bagi mengendalikan kes berkenaan.-UTUSAN