Hadi, Muhyiddin perlu segera selesaikan kemelut

Hadi, Muhyiddin perlu segera selesaikan kemelut

ABDUL HADI AWANG (kiri) dan MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu segera menyelesaikan kemelut dalaman Perikatan Nasio­nal (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, perdebatan dan percanggahan terbuka antara Bersatu dan Pas bukan sahaja menjejaskan hubungan ke­dua-dua parti malah berpotensi melemahkan kepemimpinan PN secara keseluruhan.

Beliau berkata, sebarang usaha untuk melemahkan kepemimpinan PN akan memberi kesan langsung kepada keyakinan dan harapan penyokong terhadap gabungan pembangkang itu sekali gus menjejaskan persiapan menghadapi PRU16.

“Sekiranya kepemimpinan PN direncatkan, kesannya akan berbalik kepada semua pihak sama ada Bersatu atau Pas sendiri. Situasi ini berisiko berlarutan selagi kepemimpinan tertinggi tidak mengambil langkah untuk menjernihkan keadaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah beliau, keadaan itu hanya boleh diselesaikan se­kiranya Abdul Hadi dan Muh­yiddin bersedia untuk duduk se­meja dan meredakan ke­te­gangan memandangkan ke­dua-dua parti saling memerlukan antara satu sama lain.

Mengulas kemungkinan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN), Azmi berkata, usaha tersebut dilihat sukar direalisasikan tanpa penglibatan Bersatu kerana UMNO ketika ini tidak me­nunjukkan minat untuk kembali bersama dalam kerjasama politik itu.

“Dalam situasi semasa, hanya Pas yang dilihat berminat terhadap MN berikutan masalah dalaman dalam PN. Namun hakikatnya, menghidupkan semula MN yang melibatkan Pas dan UMNO tanpa penyertaan Bersatu adalah hampir mustahil,” katanya.

Menurut Azmi, kegagalan menyelesaikan kemelut dalaman PN secara tuntas akan terus memberi kelebihan kepada pihak lawan dan melemahkan posisi pembangkang dalam landskap politik negara.

Terdahulu, kemelut dalaman PN dilihat masih berlarutan dan semakin meruncing susulan tindakan tujuh pemimpin utama Bersatu meletakkan jawatan tertinggi dalam gabungan itu.

Situasi tersebut memperlihatkan krisis kepimpinan PN yang belum menemui titik penyelesaian lebih-lebih lagi apabila dua parti tunjangnya, Bersatu dan Pas masih belum menamakan calon yang layak menggantikanMuhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN