PETALING JAYA: Pusat pengasuhan dan taman asuhan kanak-kanak (taska) disaran mewajibkan ujian saringan kesihatan mental terhadap bakal pengasuh.
Langkah pencegahan awal itu bagi menangani isu pengasuh bermasalah khususnya kes melibatkan jenayah seksual dan penderaan terhadap kanak-kanak.
Selain itu, semua pusat pengasuhan dan taska juga dicadangkan meletakkan ujian psikologi sebagai syarat mandatori dalam proses pengambilan pengasuh.
Situasi itu sekali gus memastikan hanya individu yang benar-benar layak serta stabil daripada segi emosi dan mental dibenarkan menjaga kanak-kanak.
Melalui pendekatan tersebut, pihak pengurusan taska dapat membuat pemilihan lebih teliti dan berhemah seterusnya memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka berada di bawah jagaan pengasuh yang sihat mental dan berintegriti.
Setakat ini, tiada peruntukan atau ketetapan rasmi yang mewajibkan ujian psikologi ke atas pengasuh taska di peringkat nasional namun terdapat pusat pengasuhan tertentu yang melaksanakannya secara sukarela.
Presiden Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak Berdaftar Malaysia, Prof. Norsheila Abdullah berkata, ujian psikologi asas wajar dijadikan syarat pengambilan pengasuh khususnya bagi individu yang bekerja dengan bayi dan kanak-kanak kecil.
Katanya, kanak-kanak berumur antara sifar hingga empat tahun merupakan golongan paling rentan kerana tidak mampu bersuara serta bergantung sepenuhnya kepada pengasuh, ibu bapa dan penjaga.
“Ujian psikologi bukan bertujuan menghukum, sebaliknya untuk menilai kestabilan emosi dan keupayaan kawalan tekanan, mengesan kecenderungan agresif atau trauma yang tidak dirawat serta menentukan kesesuaian individu dengan persekitaran pengasuhan kanak-kanak
“Ujian tersebut perlu dilaksanakan secara profesional dan berkala, selain disokong dengan latihan kesihatan mental, kaunseling serta sokongan tempat kerja secara berterusan bagi mewujudkan suasana kerja yang sihat dan selamat di taska.
“Keselamatan kanak-kanak tidak boleh bergantung kepada sijil semata-mata, tetapi kepada kesejahteraan dan kesiapsiagaan mental pengusaha, penyelia dan pengasuh.
“Faktor keletihan melampau atau burnout yang sering berpunca daripada tekanan sosioekonomi juga perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak, termasuk ibu bapa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Trauma
Baru-baru ini media melaporkan seorang wanita mendakwa trauma selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular dalam media sosial memaparkan anaknya berusia enam bulan dicampak, digolek dan ditampar oleh pengasuh di taska.
Rakaman itu mencetuskan kemarahan orang ramai serta kebimbangan ibu bapa lain, di samping terdapat dakwaan bahawa beberapa bayi lain turut menjadi mangsa di situ.
Tambah Norsheila, pemasangan CCTV di taska wajar diwajibkan sebagai langkah pencegahan dan pemantauan namun pelaksanaannya perlu dibuat secara berperingkat, beretika serta tertakluk kepada peraturan yang jelas.
Menurut beliau, CCTV bukan bertujuan menggantikan integriti dan profesionalisme pengasuh sebaliknya berfungsi sebagai lapisan perlindungan tambahan kepada kanak-kanak, pengasuh dan pengusaha pusat pengasuhan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan akses langsung kepada ibu bapa melalui siaran langsung atau live streaming tidak wajar dilaksanakan secara terbuka kerana melibatkan isu privasi kanak-kanak dan pekerja.
Selain itu, ia berisiko menimbulkan salah tafsir terhadap sesuatu situasi tanpa konteks profesional.
“Sebagai langkah seimbang, kami mencadangkan CCTV diwajibkan di ruang umum taska, dengan rakaman disimpan dan hanya boleh diakses oleh pengusaha, pihak berkuasa serta ibu bapa sekiranya berlaku aduan rasmi,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan garis panduan nasional diwujudkan oleh kerajaan bagi memastikan penggunaan CCTV di taska dilaksanakan secara beretika, selamat dan tidak disalah guna.
“Pendekatan ini lebih seimbang kerana mengambil kira aspek perlindungan kanak-kanak, hak pekerja serta kepercayaan ibu bapa,” katanya.-UTUSAN.










