Galeri Ulama Awla Pok Kob dikunjungi ulama Pattani

Galeri Ulama Awla Pok Kob dikunjungi ulama Pattani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RATUSAN khazanah Islam dan pahlawan Melayu Pahang yang disimpan di Madrasah Raudhah Al-Muhibbin atau Pondok Pok Kob di Kampung Pantai, Chenor di Maran mendapat pujian golongan ulama serta pendakwah termasuk dari Pattani, Selatan Thailand.

Rata-ratanya kagum melihat lebih 200 artifak berkaitan tokoh ulama, pahlawan, al-Quran tulisan tangan, kitab-kitab, pakaian dan senjata yang dipamerkan di Galeri Ulama Awla di pondok berkenaan.

Mudir Pondok Pok Kob, Barkatullah Mohd. Bahari, 40, berkata, terbaharu galeri berkenaan dikunjungi peserta program Maulid Akbar dan Liqa Mahabbah Guru-Guru Pondok Pantai Timur.

Katanya, antara yang menjadi tumpuan ialah al-Quran bertulisan tangan berusia lebih 300 tahun milik seorang ulama terkenal, Pak Minhat yang ditemui di Kampung Pantai, Chenor.

Ujarnya, usaha pemuliharaan dan pemeliharaan semua artifak berkenaan dilakukan dengan penuh tanggungjawab terutama al-Quran bertulisan tangan itu.

“Al-Quran yang ditulis kira-kira tahun 1,700 masihi itu diwariskan kepada keluarga ulama terkenal berkenaan dan diamanahkan kepada kita untuk memelihara dan memuliharanya.

“Artifak lain ialah kitab milik Tengku Haji Abdul Rahman Pondok Pangsenam Temerloh dan kitab milik Haji Abdul Hamid Kampung Sanding,” katanya.

Galeri yang dibangunkan sejak tiga tahun lalu itu turut memaparkan artifak peninggalan pahlawan dan ulama Terengganu, Abdul Rahman Limbong dan Tokku Paloh yang dihadiahkan kepada muridnya yang berasal dari Chenor.

Artifak itu ialah tempat letak serban, rotan gelung, kendi tempat wuduk di samping tempat hidangan makanan Tokku Syed Saqqaf.


Menurut Barkatullah, koleksi lain ialah kayu rengas Tok Pulau Manis, mangkuk tembaga tulisan khat Arab berusia lebih 300 tahun dan tempayan mukim Hassan yang merupakan anak murid Tokku Paloh di samping gambar ulama luar dan dalam negara.

“Galeri Ulama Awla turut menyimpan beberapa pakaian tradisional Melayu yang dipakai kerabat diraja dan pembesar Pahang dalam peti besi sumbangan orang ramai.

“Pihak kami mengalu-alukan sumbangan artifak barangan lama seperti pakaian Melayu abad terdahulu termasuk senjata seperti keris dan lembing untuk disimpan di galeri ini,” katanya.

Sementara itu, seorang ulama dari Pattani, Shamsuddin Ahmad, 68, teruja melihat peninggalan khazanah ulama termasuk yang bertaraf wali Allah.

Dia yang juga merupakan mudir sebuah madrasah di Selatan Thailand berharap dapat mewujudkan galeri sama di pondoknya kelak.

Mudir Pondok Tok Mengkarak, Bera, Mohd. Khairi Alias, 46, pula berpendapat, pondok Pok Kob kaya dengan artifak kerana merupakan lokasi perkembangan Islam satu ketika dahulu.

Ujarya, kajian mendapati Chenor mempunyai hubungan dakwah dengan Aceh, Sumatera dan negeri di Semenanjung seperti Terengganu, Kelantan, Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Pelajar sekolah perlu berkunjung ke galeri ini bagi melihat sendiri artifak peninggalan tokoh ulama tersohor dan dalam masa sama mendedahkan mereka terhadap kecekalan ulama terdahulu dalam memperjuangkan syiar Islam,” katanya.

Seorang lagi pendakwah, Mohammad Abdullah, 30, atau dikenali sebagai Ustaz Mad Kecik berkata, khazanah yang dipamerkan di Galeri Ulama Awla boleh dijadikan rujukan buat generasi muda.

“Saya terkejut melihat banyak barangan peninggalan ulama di sini.

“Semoga usaha murni pihak Pondok Pok Kob ini dapat diteruskan sampai bila-bila bagi tatapan generasi akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengerusi Islami Pahang, Yunan A.Samad menyifatkan galeri itu sebagai menyambung legasi ulama silam yang komited mengembangkan syiar Islam di rantau nusantara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya