Enam tahun tinggal di stor, kini ibu tunggal dapat rumah baharu

Enam tahun tinggal di stor, kini ibu tunggal dapat rumah baharu

NGATANI Wagiman (depan, tiga dari kanan) menerima replika kunci RRP daripada Fadzli Mohamad Kamal (tiga dari kiri) di Kampung Sungai Pasu di Raub, Pahang, semalam. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Setelah enam tahun tinggal di stor lama, kehidupan ibu tunggal, Ngatani Wagiman, 59, kini lebih selesa apabila kerajaan negeri memberikan bantuan rumah baharu menerusi projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) di Kampung Sungai Pasu di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ngatani berkata, ekoran hidup susah dan tiada tempat tinggal, dia serta dua orang anaknya terpaksa berteduh di stor lama terletak bersebelahan rumah pusaka milik arwah datuknya.

“Ini berkat bulan Ramadan tahun ini dan ketentuan Allah SWT sekali gus mengubah kehidupan saya tinggal di tempat selesa untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Saya berterima kasih dan bersyukur kerana kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail amat prihatin dengan nasib saya sebagai ibu tunggal dengan memberikan bantuan rumah baharu,” katanya selepas menerima replika kunci RRP di Kampung Sungai Pasu, di sini semalam.

Bercerita keadaan kehidupannya sebelum ini, Ngatani berkata, stor tempat tinggal mereka begitu uzur termasuk atap bocor dan dinding berlubang sehingga basah tempat tidur serta dapur setiap kali hujan lebat dan musim tengkujuh.

“Saya malu apabila saudara mara datang bertandang dan terpaksa mengajak tetamu ke rumah pusaka milik arwah datuk sebab stor yang saya diami sempit dan kurang selesa.

“Mana mampu saya membeli bahan binaan dan mengambil upah membina rumah kerana hanya bergantung kepada gaji harian sebagai pembantu kedai makan,” katanya.

Sementara itu, anak bongsu Ngatani yang bekerja sebagai bilal masjid, Mohamad Haziq Aiman Shaipul Arifin, 20, berkata, dia tinggal bersama ibunya turut membantu meringankan beban keluarga dengan menyediakan keperluan dapur, tetapi tidak mampu untuk membina rumah baharu.

“Ketika dimaklumkan keluarga kami antara penerima RRP, saya rasa sungguh bertuah dan tidak menyangka memperoleh rezeki seperti ini. Terima kasih Menteri Besar kerana membantu golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal pula berkata, RRP cetusan idea Menteri Besar untuk membantu rakyat susah yang tidak mampu memiliki rumah sendiri.

“Konsep binaan RRP bernilai RM75,000 itu dilengkapi dengan ruang tamu, dapur, tiga bilik tidur, tandas dan bilik air serta barangan perabot bernilai RM2,000,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN