Rawatan vena verikos pulih parut, urat bersimpul

Rawatan vena verikos pulih parut, urat bersimpul

SALAH satu punca tidak mendapatkan rawatan adalah takut menjalani pembedahan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALU, kaki penuh dengan urat hijau timbul dan bersimpul-simpul tidak ubah seperti sarang labah-labah, menyebabkan ramai wanita menanggung kesakitan sendirian tanpa mendapatkan rawatan.

Malah ramai menyangka masalah dikenali sebagai salur darah bersimpul atau vena verikos itu berlaku akibat faktor usia dan tidak perlu dirawat.

Lebih mendukacitakan, ramai berpendapat masalah itu tidak menghalang mereka menjalankan aktiviti harian dan ‘aib’ itu boleh ditutup dengan pakaian saja.

Laporan Tinjauan YouGov 2021, membabitkan 1,151 responden berusia 18 hingga mendapati 41 peratus kurang menyedari mengenai rawatan Seramai 31 peratus lagi merasakan masalah berkenaan tidak perlu dibimbangkan manakala 28 peratus lagi risau mengenai kos rawatan.

Perunding Pakar Bedah Vaskular dan Endovaskular Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Ismazizi Zaharudin berkata, salur darah bersimpul perlu dirawat seawal mungkin bagi mengelakkan kesan lebih serius seperti ulser (luka terbuka), pendarahan dan perubahan warna kulit jika tidak dirawat.

Lebih membimbangkan, ia boleh menjejaskan keupayaan salur darah untuk mengepam darah ke jantung. Salur darah bersimpul tidak menyebabkan masalah pada jantung kerana ia merupakan dua penyakit berbeza.

“Bagaimanapun, jika pesakit itu sememangnya sudah ada penyakit jantung, ia boleh menjejaskan kesihatan jantung mereka. Sebaiknya, masalah ini dirawat dari awal bagi mengelakkan risiko seperti berlaku ulser dan membataskan aktiviti. Rawatan awal juga boleh mengelakkan kos lebih mahal sekiranya ia sudah melarat.

“Bukan saja kurang kesedaran mengenai penyakit ini tetapi banyak salah tanggapan mengenai rawatannya yang membabitkan pembedahan. Antaranya, pesakit bimbang untuk menjalani pembedahan kerana takut tidak boleh berjalan semula dan tidak mahu ada parut pada kaki.

“Sebenarnya, ramai tidak tahu rawatan bukan saja menghilangkan urat bersimpul tetapi turut menghilangkan parut,” katanya berbicara mengenai Vena Verikos bersama selebriti dan usahawan wanita, Marion Caunter di IJN, baru-baru ini.

DR. ISMAZIZI ZAHARUDIN dan Marion Caunter pada program bicara mengenai Vena Verikos baru-baru ini. – UTUSAN / HALINA MD. NOOR

Dr. Ismazizi berkata, sebagai pakar bedah, vena verikos adalah masalah yang sering ditemui dalam kalangan pesakitnya terutama wanita, tanpa mengira latar kerjaya.

“Wanita lebih berisiko mengalami vena verikos disebabkan faktor usia. Kebanyakannya berusia 50 hingga 80-an yang berisiko mengalami masalah ini disebabkan penurunan hormon estrogen.

“Kekurangan hormon ini boleh melemahkan fungsi salur darah. Dalam kalangan wanita muda pula, ia berlaku kepada wanita hamil disebabkan tekanan rahim ke atas salur darah dalam perut memberi kesan ke atas keberkesanan salur darah,” katanya.

PUNCA BERLAKU

Vena verikos berlaku apabila vaskular pembuluh darah vena mengembang dan memanjang. Ia biasanya disebabkan oleh dinding dan injap vena yang lemah.

Di dalam urat terdapat injap sehala kecil yang terbuka untuk membiarkan darah masuk dan kemudian ditutup untuk menghalangnya mengalir ke belakang. Kadang-kadang dinding urat menjadi tegang dan kehilangan keanjalannya seterusnya menyebabkan injap menjadi lemah.

Jika injap tidak berfungsi dengan baik, ini boleh menyebabkan darah bocor dan mengalir ke belakang.

Jika ini berlaku, darah yang terkumpul dalam urat akan menjadi bengkak dan membesar.

Selain faktor usia, gaya hidup atau tabiat kurang sihat boleh menyebabkan berlaku salur darah bersimpul.

“Antaranya merokok, mengalami masalah obesiti, tidak bersenam dan lebih banyak berdiri boleh menyebabkan tekanan kepada kaki. Justeru amat penting untuk wanita terutamanya mengelakkan faktor risiko ini bagi mencegah penyakit ini,” kata Dr. Ismazizi.

RAWATAN TANPA BEDAH

Sebelum ini rawatan untuk vena verikos adalah menerusi pembedahan membuang salur darah yang membengkak.

Bagaimanapun, hasil kemajuan teknologi perubatan kini, pembedahan seperti ini tidak perlu lagi dijalankan.

Jelas Dr. Ismazizi, salah satu punca mengapa orang tidak mendapatkan rawatan adalah disebabkan takut menjalani pembedahan.

Pesakit bimbang jika mereka tidak boleh berjalan selepas dibedah atau menjadi lumpuh.

“Sebenarnya rawatan kini sangat selamat berbanding 20 tahun lalu. Malah sekiranya dikesan di peringkat awal, ia boleh dirawat tanpa pembedahan.

“Pesakit akan dirawat menggunakan prosedur endovenus menggunakan haba laser untuk mengurangkan saraf bersimpul. Ia memberikan hasil yang baik. Keutamaan dalam rawatan ini adalah untuk menutup vena. Darah kemudiannya mengalir melalui urat lain yang berdekatan. Akhirnya, tiada parut yang kelihatan pada kaki,” katanya.

Selepas rawatan, kira-kira lima hingga 10 peratus masalah saraf bersimpul boleh berulang sekiranya pesakit tidak mengambil langkah mencegah ia daripada berlaku.

Ini termasuk mengurangkan berat badan, bersenam dan menghentikan tabiat merokok. Gaya hidup seperti bersenam boleh mengecutkan otot dan seterusnya mengepam darah ke jantung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya