Operasi mencari lelaki hilang buntu - Utusan Malaysia

Operasi mencari lelaki hilang buntu

AZANI ALIAS 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki  yang dilaporkan hilang ketika memikat burung di hutan Bukit Sudu dekat Kampung Pondok Lalang di sini masih menemui jalan buntu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, berkata, setakat ini, tiada petunjuk baharu ditemukan pasukan SAR yang melibatkan pelbagai agensi dalam usaha mengesan mangsa, Azani Alias, 37.

Menurut beliau, pasukan carilamat berdepan kesukaran berikutan bentuk muka bumi yang ekstrim sekaligus menyukarkan usaha menjejaki Mohd. Azani yang hilang selepas memasuki ke dalam hutan terbabit pada Isnin lalu.

“Operasi SAR yang dilancar sejak menerima laporan kehilangan mangsa pada Selasa lalu belum berhasil dan kami masih tidak dapat mengesan lokasi mangsa walaupun telah membahagikan pasukan mencari di kawasan bukit mengikut zon.

“Radius pencarian telah diperluaskan meliputi jarak dua kilometer dari tempat motosikal mangsa dijumpai iaitu berhampiran kawasan laluan denai dan anak sungai.

“Pasukan SAR menghadapi cabaran hutan simpan yang tebal dan berbukit-bukau sekaligus membahayakan keselamatan pegawai dan anggota terlibat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, operasi SAR akan diteruskan hari ini dengan kekuatan lebih 86 pegawai dan anggota agensi menyelamat serta turut dibantu tiga ekor anjing unit pengesan (K9).

Mohd. Azani dilaporkan hilang ketika keluar memikat burung di dalam hutan terbabit dengan laporan polis dibuat ahli keluarganya pada awal pagi Selasa lalu setelah 24 jam tidak pulang ke rumah.

Pencarian penduduk kampung membawa kepada penemuan sebuah motosikal merah jenis Honda EX5 di kawasan denai dan anak sungai dipercayai milik mangsa berserta sebilah pisau.

Menurut abang mangsa, Mohd. Zuhaidi, 41, mangsa sempat menghantar gambar kawasan pokok getah dan seekor burung melalui ‘Whatsapp’ sebelum gagal dihubungi kira-kira 10 pagi Isnin lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.