M40 juga mahu hantar anak ikut program prasekolah

M40 juga mahu hantar anak ikut program prasekolah

Golongan M40 juga berharap anak-anak mereka diberi peluang untuk mengikuti pembelajaran prasekolah di sekolah kebangsaan ekoran yuran tinggi yang dikenakan oleh sekolah swasta. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Semakin ramai ibu bapa termasuk daripada kategori M40 berhasrat menghantar anak masing-masing ke prasekolah disebabkan pelbagai faktor terutama yuran tadika swasta yang semakin mahal.

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kedah, Zainol Abidin Mohamad berkata, pihaknya menerima pelbagai maklum balas daripada ibu bapa yang berharap agar kelas prasekolah diperbanyakkan pada masa depan.

“Prasekolah semakin menjadi rebutan sebab utama tidak kena yuran bulanan macam tadika swasta yang semakin tinggi yurannya setiap tahun. Ibu bapa semakin tidak tahan, lebih-lebih lagi kalau memiliki anak ramai.

“Kedua, ibu bapa semakin yakin dengan prasekolah kerana silibusnya mengikut Kementerian Pendidikan. Malah guru besar juga sentiasa memantau perkembangan murid-murid prasekolah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pada 4 Januari lalu, Kementerian Pendidikan memaklumkan akan meneliti keperluan menambah bilangan prasekolah di kawasan bandar di seluruh negara berikutan terdapat permintaan tinggi terhadap kemudahan tersebut terutama dalam kelompok B40.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, hal itu perlu dilihat dengan lebih mendalam memandangkan terdapat beberapa perkara perlu dipertimbangkan sebelum satu keputusan boleh dibuat.

Sementara itu kata Zainol Abidin, faktor lain yang menjadikan prasekolah pilihan ramai walaupun hanya diberi kepada pelajar golongan kurang berkemampuan adalah kerana kawalan keselamatan di sekolah.

“Prasekolah berada dalam kawasan sekolah, ada kawalan ketat dan anak-anak yang masih kecil selamat belajar di situ. Selain itu ia juga dianggap pendedahan awal terbaik untuk mereka sebelum ke alam persekolahan dari segi persekitarannya,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa yang ketika ini terpaksa menghantar anak masing-masing ke tadika swasta bukan sahaja dibebani dengan kos yuran yang tinggi, malah perbelanjaan lain termasuk tambang pengangkutan.

“Tempat prasekolah memang terhad, jadi kita cadangkan kepada kerajaan jika boleh kelas ini ditambah lagi. Selain dari segi penempatan, anak-anak kita dapat pembelajaran yang lebih sistematik untuk memenuhi aspirasi pendidikan negara pada usia masih muda.

“Kita harap kerajaan perbanyakkan dari dua kelas kepada tiga atau empat kelas sebagai tambahan. Kita percaya sekarang banyak guru prasekolah berada di pasaran. Itu harapan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan negeri, Rozaini Ahmad berkata, sebanyak 13,667 murid diterima masuk ke prasekolah seluruh Kedah bagi sesi baharu persekolahan yang bermula semalam.

“Kita mengakui menerima banyak permohonan untuk kemasukan ke prasekolah, malah ada ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka seawal usia lima tahun. Namun kelas prasekolah kita masih terhad. Kita juga berharap pada masa hadapan kelas ini akan ditambah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×