KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pertimbangkan perubahan di bawah Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dengan membenarkan pelajar berpolitik.
Di Dewan Rakyat, menjawab kepada Chow Yu Hui [Raub-PH], Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal memberitahu KPT komited dalam memastikan kuasa mahasiswa di Institutsi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) diperkasakan.
“KPT telah membuat perubahan dan penambahbaikkan terutama yang berhubung kait dengan memperkasakan mahasiswa dan mahasiswi kita di IPTA kita khususnya di mana terletaknya seperti apa yang termaktub dalam AUKU.
“Kita telah buat beberapa perubahan dan kita juga sedang berusaha untuk kita buat satu lagi perubahan di bawah Seksyen 15 yang berhubung kait dengan urusan kewangan mereka termasuk untuk mereka berpolitik secara bebas.
“Ini bermakna mereka boleh menganggotai parti politik dan mereka boleh menjadi calon. Di samping itu juga, mereka diberikan penuh tanggungjawab berhubung gerakan-gerakan mahasiswa di IPTA,” katanya.
Terdahulu, Yu Hui berkata, salah satu reformasi pendidikan tinggi adalah kembalikan kuasa autonomi kepada mahasisiwa.
Beliau kemudian bertanya jumlah IPTA yang telah kembalikan kuasa kepada mahasiswa untuk mengadakan pilihan raya kampus dan bukan bahagian hal ehwal pelajar (HEP). – UTUSAN










