Ketua Pemuda Amanah Perlis keluar parti, letak semua jawatan - Utusan Malaysia

Ketua Pemuda Amanah Perlis keluar parti, letak semua jawatan

AHMAD FADHZIL MOHAMAD.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perlis, Dr. Ahmad Fadhzil Mohamad mengumumkan keluar daripada parti itu.

Beliau turut mengumumkan melepaskan semua jawatan disandang termasuk Ketua Biro Kesihatan Pemuda Nasional Amanah dan Ketua Pemuda Amanah kawasan Kangar serta jawatan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) negeri.

Ahmad Fadhzil berkata, keputusan keluar parti diambil setelah melalui proses pertimbangan yang panjang, teliti dan mendalam khususnya terhadap peranan beliau sebagai pemimpin muda serta hala tuju perjuangan ingin dibawa.

Katanya, sepanjang tempoh bersama Amanah, beliau telah berusaha sedaya upaya untuk menyumbang kepada pembangunan parti, memperkukuh suara anak muda serta mendekati masyarakat melalui pelbagai inisiatif khususnya dalam bidang kesihatan dan kebajikan rakyat.

“Namun, saya melihat terdapat jurang yang semakin ketara antara prinsip perjuangan saya pegang dengan pendekatan serta keutamaan semasa dalam landskap politik sedang dilalui.

“Sehubungan itu, saya mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada semua jawatan serta keahlian parti bagi memberi ruang kepada kepimpinan lain meneruskan agenda mereka di samping membolehkan saya menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha-usaha yang lebih dekat dengan masyarakat dan selari dengan prinsip perjuangan saya,” katanya di sini hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pimpinan, rakan seperjuangan serta anggota parti di semua peringkat atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama diberikan sepanjang perjalanan ini.

“Di kesempatan ini juga, saya ingin memohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan dan kekurangan sepanjang saya memegang amanah diberikan. Akhir kalam, saya mendoakan agar Parti Amanah Negara terus maju dan berjaya dalam memperjuangkan aspirasi rakyat serta mencapai matlamat yang dihasratkan,” katanya

Dalam pada itu, jawatan Ketua Pemuda PH negeri akan dipangku oleh timbalan, Azzin Izzad Bahanudin yang juga merangkap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri.

Azzin Izzad berkata, jawatan tersebut akan dipangku oleh beliau sementara menantikan arahan lanjut daripada kepimpinan Angkatan Muda Harapan pusat berhubung tindakan seterusnya.

“Kita akan terus istiqamah bergerak sebagai sayap pemuda kepada gabungan parti-parti dalam PH serta memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang yang konstruktif terhadap pentadbiran kerajaan negeri pada hari ini.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ahmad Fadhzil atas segala jasa, komitmen dan keringat dicurahkan sepanjang memimpin Angkatan Muda Harapan Perlis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN