PETALING JAYA : Sambungan rakaman percakapan membabitkan seorang penganalisis politik yang merupakan saksi siasatan projek semikonduktor kerajaan bernilai kira-kira RM1.1 bilion diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk hari kedua hari ini.
Menurut sumber, saksi yang juga merupakan bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas (Dasar) Menteri di sebuah kementerian hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 10 pagi.
“Saksi tiba di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 10 pagi tadi dan beliau hadir bagi hari kedua untuk dirakam percakapan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Mohd. Hafaz Nazar ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, saksi telah dilepaskan pada pukul 6.45 petang tadi.
Katanya, proses rakaman percakapan itu akan disambung lagi untuk hari ketiga esok.
Pada 4 Mac lalu, SPRM mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung satu perjanjian mega antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.
Seramai 12 saksi dipanggil bagi membantu siasatan berhubung projek kerjasama strategik semikonduktor antara kerajaan Malaysia dan Arm Ltd. dari United Kingdom (UK) yang dikaitkan dengan seorang bekas menteri Kabinet.
Antara yang dipanggil termasuk bekas menteri serta pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan seperti.
Siasatan SPRM dijalankan berdasarkan aduan yang diterima SPRM dengan tumpuan terhadap kemungkinan wujud unsur salah guna kuasa, penipuan serta isu tadbir urus dalam pelaksanaan projek berkenaan.
Dokumen-dokumen penting telah diperoleh daripada agensi dan kementerian berkaitan, termasuk kertas pembentangan kepada kabinet berhubung perkara ini. Saksi-saksi lain juga sedang dipanggil bagi membantu siasatan.-UTUSAN










