SINGAPURA: Singapura bersetuju untuk menyahklasifikasi dan mengeluarkan dokumen dalam fail Albatross iaitu fail yang disimpan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, mendiang Dr. Goh Keng Swee sewaktu pemisahan Singapura dari Malaysia.
Menteri Komunikasi dan Penerangan, Dr. Janil Puthucheary berkata, Keng Swee berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri Singapura di antara 1973 dan 1985 dan diiktiraf secara meluas sebagai salah seorang bapa pengasas Singapura.
“Proses penyahklasifikasian bermula beberapa lama dahulu dan mengambil sedikit masa berikutan kerumitan bahan dan subset bahan itu adalah sebahagian daripada pameran awam,” kata Puthucheary.
Putucheary berkata demikian di Parlimen sewaktu membahaskan mengenai jawatan kuasa perbahasan bekalan untuk kementeriannya.
Beliau berkata, satu set lebih besar dokumen Albatross yang tidak diklasifikasikan ini akan dikeluarkan dalam buku mengenai pemisahan kedua-dua negara yang akan diterbitkan akhir tahun ini.
“Ini termasuk kertas Kabinet dan nota Keng Swee mengenai perbualannya dengan pemimpin Malaysia,” kata Puthucheary.
Menteri itu juga memaklumkan kepada Parlimen bahawa sejak 2016, agensi kerajaan menyemak lebih 7,000 rekod kerajaan yang belum dinyahklasifikasikan.
“Ini sebagai tindak balas kepada 2,130 permintaan orang ramai. Secara keseluruhannya, 83 peratus daripada rekod ini diluluskan untuk akses. Secara keseluruhan, kira-kira 68,000 rekod fail dinyahklasifikasikan dan boleh diakses oleh orang ramai,” katanya. -AGENSI










