Bertadarus jangan lupa tadabbur

Bertadarus jangan lupa tadabbur

SELAIN bertadarus dalam Ramadan, umat Islam perlu juga mentadabbur al-Quran supaya lebih memahami kandungan kitab suci al-Quran. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Datuk! Ikut saya baca doa ini. Doa ini mungkin boleh menjadi sebab utama mata Datuk sembuh. Ya Allah! Sembuhkan mata saya supaya dalam bulan Ramadan yang akan datang saya dapat khatam al-Quran”.

Dialog di atas adalah kisah benar yang berlaku kepada seorang murid dewasa saya tidak lama dahulu. Beliau mengalami masalah mata dan menjalani rawatan dengan tokoh tersohor, Prof. Dr. Muhaya Mohamad. Ketika hampir menjalani pembedahan mata, Dr. Muhaya memintanya bersama membaca doa di atas.

Pembedahan itu berjaya dan matanya pulih. Menjelang masuk Ramadan tahun itu, murid dewasa saya ini berasa sangat bersalah kerana sepanjang hidupnya yang mencecah usia 60 tahun, belum pernah sekalipun beliau khatam al-Quran dalam bulan Ramadan.

Lalu tahun itu menjadi Ramadan pertama baginya mengkhatamkan al-Quran. Berikutan itu, bulan Ramadan menjadi padang wajib untuknya mengkhatamkan al-Quran setiap tahun. Subhanallah! Teknik dakwah Dr. Muhaya ini kelihatan mudah, namun kesannya sangat mendalam dan berpanjangan. Semoga pahala setiap 6,236 ayat al-Quran yang dibaca murid dewasa saya ini mengalir ke dalam akaun pahala beliau.

Ia sebagaimana janji Nabi SAW yang bermaksud: Orang yang menunjukkan kepada perbuatan yang baik (akan mendapat pahala yang sama) seperti pembuatnya. (Sunan al-Tirmidzi, 2594).

Benar! Al-Quran dan Ramadan adalah kembar yang tak mungkin dipisah. Tak percaya? Cuba anda anjurkan tadarus al-Quran di surau. masjid anda pada bulan Syawal, Jamadilawal, Rabiulawal atau Muharam. Tunggu dan lihatlah apa sambutan ahli kariah.

Perhatikan juga perkataan bulan dalam bahasa Arab disebut syahr. Antara makna lain perkataan ini adalah “sesuatu yang dimasyhur atau diperkenalkan.” Ringkasnya, memang Ramadan “dimasyhurkan” Allah dengan al-Quran.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (al-Baqarah: 184).

Bukan hanya al-Quran, Ramadan juga turut dimasyhurkan Allah dengan penurunan semua kitab langit lain. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Diturunkan Suhuf Ibrahim pada malam pertama Ramadhan, Taurat pada 6 Ramadan, Injil pada 13 Ramadan, Zabur pada 18 Ramadan dan al-Quran pada 24 Ramadan. (Musnad Ahmad, 16,370).

Dalam 12 bulan mengapa agaknya Allah memilih Ramadan menjadi bulan turunnya al-Quran? Walaupun soalan sebegini boleh sahaja difikirkan jawapannya, Allah sebagai Tuhan Pencipta alam berhak memilih apa dan siapa sahaja untuk menerima sesuatu kemuliaan.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dia-lah juga yang memilih (mana-mana makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya. (al-Qasas: 68).

Analogi lain bagi memahami kaitan antara kemuliaan al-Quran dan Ramadan adalah perumpamaan tarikh hari kebangsaan Malaysia. Sebelum tahun 1957, 31 Ogos hanya hari biasa yang tiada apa-apa keistimewaan untuk dikenang.

Selepas Malaysia dimasyhurkan dengan kemerdekaan pada tarikh tersebut, 31 Ogos menjadi hari keramat penuh sejarah yang dikenang seluruh rakyat Malaysia saban tahun.

Oleh kerana Ramadan itu sendiri diangkat nama dan darjatnya kerana al-Quran, sudah semestinya kita merebut peluang keemasan ini untuk bersama al-Quran dengan segala aktiviti yang selayaknya seperti tilawah, tadarus dan tadabbur. Merebut hembusan Rahmat Allah dalam bulan Ramadan memang disaran Nabi SAW.

Ia sebagaimana sabda baginda SAW yang bermaksud: Kerjakan kebaikan sepanjang usiamu (terutama sekali pada waktu istimewa yang disebut agama) dan carilah hembusan Rahmat Allah kerana ia menyentuh siapa sahaja yang Dia mahu dalam kalangan hamba-Nya.

Pohonlah kepada Allah agar Dia tutup aibmu dan selamatkan kamu daripada ketakutanmu. (Mu’jam al-Kabir Imam al-Tabrani).

Nabi SAW sendiri menjadi aktif bertadarus al-Quran dan bersedekah dalam bulan Ramadan. Dinukilkan dalam hadis baginda yang bermaksud: Nabi SAW adalah orang yang paling pemurah (melakukan kebaikan). Baginda jadi tambah pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril datang bertemu dengannya pada setiap malam. Jibril mengulangkaji al-Quran dengan nabi pada bulan Ramadan.

Baginda benar-benar pemurah (pada Ramadan) seperti angin yang bertiup kencang. (Sahih al-Bukhari, 5).

Soalan lazim yang selalu saya perolehi berkenaan interaksi kita dengan al-Quran dalam Ramadan; mana satu yang perlu diutamakan? Baca sehingga khatam atau tadabbur ayatnya? Jika kedua-duanya direbut, masanya pasti tak akan cukup. Bak kata pepatah, yang dikendong keciciran yang dikejar tak dapat.

Pada pandangan penulis, kedua-dua aktiviti tersebut yang mewakili interaksi dengan kuantiti (khatam atau baca sebanyak mungkin ayat al-Quran) dan kualiti (memahami serta menghayati isinya) perlu bergerak seiring.

Cuma, interaksi secara kualiti tidak perlu banyak, cukup sekadar beberapa ayat sahaja sehari asalkan ia konsisten berlaku. Dalam interaksi kuantiti, kita perlu cuba mengkhatamkannya dalam Ramadan, sebaliknya interaksi tadabbur biarlah ia berterusan secara sedikit sepanjang tahun sepanjang masa.

Apa yang penting adalah melonjakkan rasa mahu baca, faham dan amal al-Quran bermula dari Ramadan. Hayati sabda Nabi SAW ini semoga ia mampu menjadi tangga untuk kita melonjakkan rohani kita dalam Ramadan dengan al-Quran.

Sabda nabi SAW yang bermaksud: Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat (bantuan) kepada seorang hamba Allah pada hari kiamat. Puasa (seolah) berkata, Wahai tuhanku Aku telah menghalangnya daripada makan serta melayani nafsu (bersama pasangan) pada siang harinya. Maka jadikan Aku sebagai pemberi syafaat kepadanya. Al-Quran (seolah) berkata, Aku pula menghalangnya tidur pada waktu malam (kerana malamnya diisi dengan membacaku dalam solat), maka jadikan Aku sebagai pemberi syafaat kepadanya.

Lalu keduanya diberi kebenaran untuk memberi syafaat (kepada orang beriman yang berpuasa dan membaca al-Quran). (Musnad Ahmad, 6337).

Ayuh penuhi Ramadan ini dengan berdamping dengan al-Quran. Jangan tangguh lagi! Inilah masanya kerana esok atau Ramadan tahun depan belum tentu wujud dalam kalendar tahunan kita. – UTUSAN

Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-Hafiz merupakan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.