Rundingan gencatan senjata Gaza perlu lebih masa - Qatar - Utusan Malaysia

Rundingan gencatan senjata Gaza perlu lebih masa – Qatar

UMAT Islam di seluruh dunia tidak lagi boleh kekal berdiam diri sebaliknya bersatu dan mengambil tindakan kolektif untuk membantu menghentikan kekejaman Israel.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Qatar pada Selasa mengumumkan rundingan bagi mencapai gencatan senjata di Gaza antara Israel dan Hamas memerlukan lebih masa meskipun Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, menyuarakan keyakinan terhadap kemungkinan tercapainya satu persetujuan.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al-Ansari berkata, rundingan tidak langsung yang kini memasuki hari ketiga di Doha masih dalam peringkat awal.

“Saya tidak dapat memberikan sebarang garis masa buat masa ini, tetapi apa yang boleh saya katakan adalah, kita memerlukan masa,” katanya dalam satu kenyataan.

Trump, yang sedang menggesa satu perjanjian gencatan senjata menyatakan keyakinannya bahawa kemajuan sedang dicapai.

“Saya tidak rasa ada sebarang halangan besar. Saya rasa semuanya berjalan dengan baik,” kata Trump kepada media.

Qatar merupakan antara negara perantara utama dalam rundingan ini bersama AS dan Mesir. Menurut pihak Doha, pertemuan diadakan untuk menetapkan kerangka perbincangan namun, seorang pegawai Palestin yang dekat dengan rundingan itu memaklumkan bahawa tiada kemajuan besar dicapai setakat ini.

Utusan khas Trump, Steve Witkoff dijadualkan menyertai rundingan di Doha minggu ini bagi memperkukuh usaha rundingan.

Rundingan pusingan terbaru antara Israel dan Hamas bermula pada Ahad lalu dengan wakil kedua-dua pihak duduk di bilik berasingan dalam bangunan yang sama bagi memudahkan perbincangan tidak langsung.

Ketika pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Netanyahu di Rumah Putih, Trump menyatakan bahawa Hamas menunjukkan kesediaan untuk menghentikan konflik yang kini memasuki bulan ke-22.

“Mereka mahu berunding dan mahukan gencatan senjata itu,” katanya ketika ditanya sama ada pertempuran yang masih berlaku akan menjejaskan rundingan.

Seorang pegawai Israel yang mengiringi Netanyahu pula berkata bahawa cadangan yang sedang dirundingkan kini telah menepati 80 hingga 90 peratus daripada tuntutan Israel.

“Saya percaya, dengan tekanan ketenteraan dan politik yang berterusan, kesemua tebusan boleh dikembalikan,” katanya kepada media Israel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×