PETALING JAYA: Bagi menjayakan sistem pendidikan negara, kerajaan melalui pembentangan Bajet 2023 untuk sektor pendidikan mesti bersifat ‘serampang dua mata’ iaitu dalam usaha menaik taraf, permasalahan dihadapi sekian lama juga dapat diselesaikan.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, melalui pembentangan tersebut ia perlu merangkumi usaha memulih defisit pendidikan dan langkah menjayakan pendidikan mampan.
Menurut beliau, terdapat beberapa defisit pendidikan ketara pasca pandemik Covid-19 yang sudah pun dikenal pasti oleh Kementerian Pendidikan (KPM) namun perlu peruntukan khusus untuk menyelesaikan perkara yang mengganggu sistem pendidikan negara.
“Sesuai dengan usaha menjayakan Malaysia Madani yang menjadi teras dan panduan kerajaan perpaduan, sewajarnyalah peruntukan khusus disediakan untuk menyelesaikan defisit pendidikan yang tertunggak sekian lama.
“KPM memerlukan peruntukan khusus untuk menyelesaikan isu keciciran murid-murid, sekolah daif, sekolah sesak murid, kekurangan guru serta kemudahan infrastruktur pembelajaran di sekolah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Pembentangan Bajet 2023 akan dilakukan petang ini dan ia merupakan kali pertama dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Dr. Anuar berkata, kerajaan juga semasa pembentangan Bajet 2023 tidak boleh mengetepikan keperluan KPM untuk menjayakan sistem pendidikan yang mapan untuk kemajuan negara pada masa akan datang.
“Peruntukan untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan pedagogi guru-guru, meningkatkan prasarana pendigitalan pendidikan, memperkasakan permuafakatan pendidikan antara sekolah, ibubapa dan komuniti serta penyediaan kurikulum dan ko-kurikulum serba baru yang selari dengan keperluan kehidupan generasi masa depan.
Jelasnya, perlu ada peruntukan untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan pedagogi guru-guru, meningkatkan prasarana pendigitalan pendidikan, memperkasakan permuafakatan pendidikan antara sekolah, ibu bapa dan komuniti serta penyediaan kurikulum serta ko-kurikulum serba baharu demi memenuhi keperluan generasi masa depan.
“Di dalam menjadikan pendidikan masa depan yang yang lebih mapan, Bajet 2023 perlu menumpukan kepada usaha untuk meningkatkan kemudahan pendigitalan pendidikan dengan menyediakan bantuan kewangan bagi latihan semula pedagogi guru secara menyeluruh.
“Pada masa yang sama menyediakan geran pembangunan perisian pendidikan dan pembangunan aplikasi pembelajaran dalam talian untuk menjayakan program pendigitalan melalui pendidikan,” katanya. – UTUSAN










