MOTHER Mary turun dari pentas, baru selesai menyudahkan lagi satu konsert meganya dengan lebih 18,000 pengunjung. Imogen yang menunggu berjam-jam di belakang pentas melulu menemuinya berkata, konsert bintang popular itu ‘macam sebuah acara keagamaan’, ‘macam pergi ke gereja’.
Dialog sekejap itu telah pun mendedahkan lebih jelas tentang premis filem psychodrama Mother Mary arahan David Lowery (A Ghost Story, The Green Knight) bahawa artis boleh dianggap Tuhan, berpotensi besar membentuk sebuah kultus. Syaratnya, mereka perlu popular.
Mother Mary (MM) menceritakan Mary lakonan Anne Hathaway serta percubaannya menjernihkan kembali hubungan dengan bekas (atau mungkin masih) kekasihnya, Sam Anselm, yang juga pereka fesyennya sebelum ini.
Meminati seorang artis adalah perkara biasa, dipanggil entertainment-personal. Namun jika keterlaluan akan berubah menjadi borderline-pathological di mana tingkatnya lebih tinggi, dalam, ekstrem, melibatkan khayalan yang tidak rasional.

Bagi sesetengah peminat, pergi ke konsert boleh dianggap pesta pemujaan melibatkan sebuah rasa percaya, penaruhan emosi sama macam upacara keagamaan cuma tidak mempunyai doktrin khusus, ritual atau institusi keagamaan. Bagaimanapun elemen-elemen itu ada dan sukar dinafikan kewujudannya walaupun artis itu hanya menyampaikan lagu mereka. Ada lagu yang dikatakan mempunyai magis, seperti dalam filem ini katanya anda akan dihantui setiap kali mendengar Mother Mary menyanyi.
Tetapi, cerita Mother Mary bukanlah mahu menyuguhkan sudut pandang yang terjadi dalam pengalaman peminat atau pengunjung. Sebaliknya apa yang terjadi kepada persona ‘Mother Mary’, rasa popular yang memakan dirinya. Ketika peminat bergantung emosi kepadanya, dia bergantung emosi kepada siapa? Itulah yang membuatkan dia tiba-tiba merasakan sering diekori lembaga berwarna merah.
Dia percaya lembaga itu ada dalam dirinya, punca mengapa dia terlibat dalam insiden kontroversi dalam konsertnya membuatkan dia berdiam lama.
Namun, ketika Mother Mary mahu kembali semula dengan ‘era yang baharu’, dia sendiri belum pasti apakah identiti yang mahu ditampilkan penyanyi itu. Boleh jadi era sebuah perkabungan apabila gaun pengebumian menjadi antara pilihan. Mary membuka ruang pilihan dalam perdebatannya dengan Sam, cuma pantangnya, enggan kain berwarna merah kerana ia menakutkan.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya penonton naskhah ini mula melakukan spekulasi menyatakan filem ini menceritakan tentang beberapa artis antaranya Taylor Swift (kerana Lowery pernah berada di konsert penyanyi pop itu yang juga bertukar-tukar ‘era’) begitu juga Lady Gaga yang memiliki persona berbeza di pentas serta Madonna yang juga sering bereksperimen dengan tema tertentu mengikut period kerjayanya.
Saya mengakui agak menyukai sesi bertikam lidah antara Mary dan Sam di dalam bengkel/ stor jahitan kerana dialognya yang tajam. Malah, dengan melihat pergaduhan mereka membuatkan kita akhirnya faham apa yang dilalui bintang legenda itu semasa hari-harinya jauh daripada Sam ‘pereka’ Mother Mary. Malah, kita juga masih dapat menikmati kesan-kesan kesunyian yang dalam sama seperti filem Lowery yang lainnya.
Namun, sebagai penonton yang menganggap naskhah bermetafora dan falsafah sebagai sesuatu yang seksi, Mother Mary bagaimanapun gagal melakukan itu (menurut saya) kerana metafora yang dihadirkan dengan gaya penceritaannya seperti bercempera, tidak tahu harus mengupas yang mana satu. Bahkan beberapa karakter, saya tidak tahu mengapa mereka muncul di situ termasuklah Imogen yang mengungkap dialog penting dalam filem ini.
Kain atau warna merah yang dilihat Mary pasti melambangkan sesuatu. Namun oleh sebab terlalu banyak simbolik dan perlambangan lain yang hadir, seperti permintaan Mary yang mahu pakaian tajam seperti pisau, situasinya lembaga merah di katil, adegan sebuah kelahiran semua terasa memualkan tiba-tiba.
Apapun, tolak tepi rasa mual dan serabut saya di dalam panggung. Saya gembira untuk Mary yang akhirnya bertemu identiti baru melakukan kemunculan semulanya sebagai penyanyi, dalam era bakal menyarungkan baju berwarna merah yang paling ditakutkannya sebelum ini.










