Hukuman berat menanti pasukan culas bayar gaji- Hamidin

Hukuman berat menanti pasukan culas bayar gaji- Hamidin

HAMIDIN MOHD. AMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu tunggakan gaji sentiasa menjadi ‘kudis’ dalam Liga Malaysia (Liga M) dan seolah-olah tiada jalan penyelesaiannya.

Begitupun, ia tidak bermakna Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sekadar berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa.

Bagi memastikan kes berkenaan pada angka sifar dan tidak berulang lagi, maka hukuman lebih berat akan dikenakan ke atas mana-mana pasukan dalam saingan Liga M yang berdepan kes tunggakan gaji bermula musim ini.

Perkara itu ditegaskan presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahu tindakan lebih berat diambil mengikut peraturan dan garis panduan pertandingan Liga M di bawah lunas undang-undang MFL.

Jelas beliau, kempen Liga M yang sudah melalui proses penswastaan sepenuhnya perlu bergerak secara profesional dan bijak berbelanja mengikut kemampuan kewangan pasukan masing-masing.

“Saya harap musim ini tidak akan ada lagi kes melibatkan tunggakan gaji. Tentu sekali kita meletakkan syarat lebih ketat dan hukuman lebih berat kepada mana-mana pasukan yang masih degil.

“Saya telah bercakap dengan Datuk Ab Ghani Hassan (Presiden MFL) dan Stuart Ramalingam (CEO MFL) serta Ahli Lembaga Pengarah MFL, kita kena betul-betul pantau secara lebih teliti (isu tunggakan).

“Ini harapan saya dalam liga musim ini selain berharap ia akan berlangsung lebih kompetitif dengan buat kali pertama saingan Liga Super dilangsungkan dengan 14 pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Isu tunggakan gaji terus menghantui arena bola sepak tempatan hingga beberapa kes turut diheret ke FIFA oleh pemain import yang pernah beraksi di Liga M sehingga mencalarkan imej negara di mata dunia.

Pada musim lalu terdapat dua kelab Liga Super iaitu Melaka United dan Sarawak United yang tidak diberikan lesen kebangsaan ekoran isu tunggakan gaji, sekali gus dihalang beraksi di liga utama musim ini.

Berdasarkan peraturan pertandingan sedia ada, beberapa mekanisma boleh diambil terhadap pasukan yang culas mengenai gaji pemain dan pegawai pasukan termasuk pemotongan mata dalam liga, dilarang mengambil pemain import, dihalang mendaftarkan pemain baharu, diturunkan ‘pangkat’ beraksi di liga lebih bawah dan terakhir tidak diberikan lesen untuk bertanding.

Hamidin mengakui pihaknya sentiasa mencari solusi terbaik bagi menghapuskan perkara negatif ini.

“Harapan saya tahun ini atau tahun-tahun akan datang, isu gaji tidak akan terjadi lagi,” jelasnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya