UMNO

Shahril Hamdan takkan gostan, merayu

SHAHRIL SUFIAN HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menegaskan tidak akan membuat ‘pusingan U’ atau merayu terhadap hukuman penggantungan selama enam tahun yang dikenakan terhadapnya, malam tadi.

Menurut Shahril, ini kerana keputusan yang diambil itu didakwa tidak mengikut prosedur yang betul.

“Sebab itu apabila orang cakap buat rayuan, saya ingat rayu pun nak buat rayuan macam mana, sedangkan prosedur asal pun tak betul, takkan rayuan pula tiba-tiba jadi okay.

“Mungkinlah mereka mengharapkan kita ‘u turn’, kita berdiam diri, kita ikut. Maaf, saya tak boleh buat perkara itu kerana semua ini tidak mengubah hakikat bahawa ini susah untuk saya telan.

“Insya-Allah Shahril Hamdan kalau dah jadi fighter (pejuang) kita tak akan gostan (pusingan U),” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan memecat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain Shahril, beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuklah ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, bekas Ahli Parlimen Jempol Datuk Salim Mohd Sharif dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, buat masa ini beliau masih belum membuat sebarang keputusan berhubung langkah yang akan diambil selepas ini.

Namun, katanya, hukuman itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa dan tanah air yang lebih murni.

Jelasnya, bukan mudah untuk beliau menerima keputusan yang dibuat parti itu, namun itu adalah kehidupan politik.

“Saya masih ada rasa sayang yang teramat sangat terhadap ahli UMNO, rakan yang saya bina persahabatan dan saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang menghantar mesej beri semangat dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai berkemungkinan boleh agak sebab dan motif utama yang parti itu ada untuk membuat keputusan itu.

Malah, beliau tidak pasti sama ada masyarakat boleh menerima alasan yang ditularkan sebagai satu sebab munasabah atau sebaliknya.

“Saya ada baca sedikit mesej yang sengaja ditularkan mungkin kononnya saya meletak jawatan selaku Ketua Penerangan, kemudian saya minta Presiden (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) ambil tanggungjawab selepas kekalahan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“(Mungkin) kerana saya buat video cadangan untuk perubahan dalam UMNO, termasuk untuk buat R&D Department (Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan). Saya tak pastilah kalau orang boleh terima sama ada ini adalah sebab munasabah.

“Mungkin kalau mereka nampak orang tak boleh terima, dia boleh cipta pula alasan yang baharu, tidak mengapa. Saya ingat kita boleh agak sebab dan motif utama yang mereka ada untuk buat perkara ini,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.