Mohd. Puad minta Horward Lee jangan `koyak’ - Utusan Malaysia

Mohd. Puad minta Horward Lee jangan `koyak’

MOHD. PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemimpin UMNO membidas tindakan DAP yang mengungkit pertolongan parti itu dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, beberapa perkara penting telah dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat semalam serta tidak boleh diputar belitkan.

Beliau turut menegur Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How yang mengkritik UMNO kerana mahu bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan tidak mahu berkedudukan bersama DAP dalam kerajaan negeri, selain mengungkit pertolongan yang diberikan ketika PRK Mahkota.

“Barisan Nasional (BN) Johor tidak melakukan apa-apa kesalahan apatah lagi pengkhianatan kerana kerajaan BN Johor wujud lebih awal sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan. Ini kerana PRN Johor berlaku sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Justeru, BN Johor mahu meneruskan mandat Bangsa Johor yang memberikan kemenangan majoriti dua pertiga,” katanya di Facebook, hari ini.

Mohd. Puad berkata, tidak wujud sebarang terma dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan yang mewajibkan kerjasama sama dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri.

“Bertanding solo adalah proses demokrasi yang mesti dihormati, ia tidak boleh dipaksa sehingga mahu membuli pihak lain.

“Banyak contoh di negara lain, kerajaan negeri tidak sepertinya sama dengan kerajaan pusat walaupun mereka bergabung di pusat,” katanya.

Tambahnya, Howard Lee tidak sepatutnya angkuh dengan mengungkit bantuan DAP kerana UMNO turut membantu Pakatan Harapan (PH) dalam beberapa siri PRK sebelum ini.

“Justeru saya minta Horward Lee, janganlah koyak, sebenarnya kamulah yang tidak ikut resmi padi. Kamulah yang angkuh.

“Jangan ungkit DAP bantu di Mahkota. UMNO juga bantu PH di Kuala Kubu Baru, Pulai dan Simpang Jeram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN