UMNO lawan Pas, yang rugi orang Melayu

UMNO lawan Pas, yang rugi orang Melayu

NOH Omar ketika ditemu bual oleh wartawan Utusan Malaysia beberapa hari selepas penyertaan semula ke UMNO di kediamannya baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
DALAM landskap politik yang semakin mencabar, menyebabkan pertembungan pelbagai penjuru hanya menyebabkan undi Melayu berpecah, sekali gus melemahkan kedudukan parti-parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.

Keadaan ini, menurut bekas Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), TAN SRI NOH OMAR, perlu ditangani melalui kesepakatan politik yang lebih kukuh demi memastikan masa hadapan bangsa dan negara terus terpelihara.

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, ASLINDA NASIR dan ATHIR ISMAIL, beliau berpandangan kerjasama antara UMNO dan Pas wajar dipertimbangkan semula kerana kedua-dua parti mempunyai asas perjuangan yang saling melengkapi.

Pada masa sama, Noh tetap berpegang kepada pendiriannya kerjasama UMNO dengan DAP sukar diterima kerana dianggap bercanggah dengan prinsip perjuangan asal parti.

Ketika temu bual yang turut disertai jurufoto, ISKANDAR ISHAK dan juruvideo, MOHD. FIKRI PADIL @ FADZIL, Noh turut mengakui pendirian UMNO Johor yang terus mempertahankan identiti serta asas perjuangan UMNO, termasuk ketegasan terhadap isu kerjasama dengan DAP, menjadi antara faktor yang mendorong beliau kembali mendekati parti itu.

UTUSAN: Mengapa kerjasama dengan DAP menjadi garis merah dalam perjuangan politik Tan Sri?
NOH: Pendirian saya sebelum ini, kali terakhir saya menyuarakannya ketika kes Datuk Seri Najib Tun Razak di mahkamah.

Prinsip saya, selagi UMNO bekerjasama dengan DAP, saya tidak akan kembali kepada UMNO. Malah, ketika Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membawa cadangan supaya UMNO bekerjasama dengan DAP sebelum penubuhan Kerajaan Perpaduan, saya telah menyatakan bantahan secara terbuka.

Dalam satu surat yang saya tulis ketika itu, saya memaklumkan terdapat empat ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, walaupun tidak menamakan mereka.

Hujah saya mudah. Perjuangan sesebuah parti perlu berasaskan kepada dasar dan prinsipnya. Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi asas perjuangan parti tidak boleh diubah sesuka hati. Apabila prinsip asas diketepikan, parti akan berdepan masalah yang besar.

Saya mengambil contoh beberapa parti Melayu yang pernah bekerjasama dengan DAP. Semangat 46 di bawah pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah pernah bekerjasama dengan DAP, namun kerjasama itu tidak bertahan lama.

Begitu juga Pas yang pernah bersama DAP dalam Pakatan Rakyat (PR). Hubungan tersebut akhirnya berakhir dengan perpecahan apabila kedua-dua pihak gagal mencapai keserasian dalam perjuangan masing-masing.

Kita dapat lihat kerjasama dengan DAP akan berakhir dengan perpecahan. Jika Pas pernah melahirkan Parti Amanah Negara (Amanah) selepas berpisah dalam gabungan yang turut melibatkan DAP, Bersatu pula melalui perpecahan yang lebih besar sehingga muncul beberapa parti baharu.

Punca utamanya ialah perbezaan asas perjuangan yang sukar disatukan. UMNO ditubuhkan untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, manakala DAP membawa gagasan kesamarataan yang diterjemahkan melalui konsep Malaysian Malaysia.

Selain itu, terdapat juga perbezaan dari segi pendekatan terhadap kedudukan Islam. UMNO meletakkan kepentingan memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan, manakala DAP sering dikaitkan dengan perjuangan negara sekular.

Dalam beberapa isu lain seperti pilihan raya kerajaan tempatan, pendirian kedua-dua parti juga dilihat tidak sehaluan.

Justeru, saya melihat wujud percanggahan yang ketara dari segi prinsip dan hala tuju perjuangan antara UMNO dan DAP. Jika satu pihak bergerak ke timur dan satu lagi ke barat, sukar untuk mencapai kesepakatan yang berkekalan.

Atas sebab itu, saya berpendapat kerjasama antara kedua-dua parti adalah sesuatu yang sukar diterima dan saya tidak bersetuju dengannya.

Kenapa tiba-tiba memilih untuk kembali kepada UMNO, sedangkan Bersatu tidak bekerjasama dengan DAP?
Pertama sekali, saya ingin tegaskan keputusan ini bukan didorong keinginan untuk mendapatkan jawatan. Jika saya diterima semula sekalipun, saya tidak mengharapkan sebarang kedudukan atau habuan.

Saya kembali kerana prinsip dan keyakinan terhadap perjuangan yang masih dipertahankan UMNO Johor.

Saya menghormati pendirian UMNO Johor yang pada pandangan saya kekal berpegang kepada asas perjuangan parti. Walaupun wujud kerjasama politik tertentu, UMNO Johor dilihat tetap mempertahankan identiti dan prinsipnya.

Sebab itu, saya memilih untuk menyatakan sokongan secara terbuka kepada kepimpinan dan pendirian UMNO Johor.

Malah sebelum ini, ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota, walaupun ketika itu telah menyertai Bersatu dan dijemput untuk berkempen, saya tidak turun berkempen kerana menghormati pendirian UMNO Johor yang dianggap tidak menyimpang daripada perjuangan asal UMNO.

Bagi saya, kekuatan UMNO terletak pada prinsipnya. Sebab itu, saya melihat Johor sebagai contoh bagaimana parti itu boleh terus mempertahankan identitinya tanpa mengorbankan asas perjuangan yang telah sekian lama menjadi teras UMNO.

Saya berharap semangat yang ditunjukkan UMNO Johor dapat dicontohi oleh negeri-negeri lain menjelang PRU16.

Saya juga yakin ramai pemimpin muda dalam UMNO mempunyai pendirian yang sama dalam mempertahankan prinsip parti. Yang penting ialah memastikan perjuangan asal UMNO terus dipelihara dan tidak terpesong daripada matlamat penubuhannya.

Adakah juga kerana Tan Sri melihat UMNO dan BN akan bergerak solo dalam pilihan raya?
Antara sebab utama saya mengambil pendirian ini ialah kerana mahu melihat UMNO bergerak secara sendiri tanpa bergantung kepada DAP.

Pada masa sama, saya juga berharap UMNO dan Pas dapat kembali mencari titik persamaan demi memperkukuh kedudukan politik orang Melayu dan Islam di negara ini.

UMNO dan Pas mempunyai asas perjuangan yang saling melengkapi. UMNO memperjuangkan kepentingan orang Melayu, manakala Pas memberi penekanan kepada perjuangan Islam.

Dalam konteks Malaysia, kedua-dua perkara ini sukar dipisahkan kerana menurut Perlembagaan Persekutuan, seseorang Melayu ditakrifkan sebagai beragama Islam. Justeru, kemajuan orang Melayu dan kemajuan Islam mempunyai hubungan yang rapat.

Saya melihat kerjasama antara UMNO dan Pas mampu memberikan kelebihan besar, khususnya di kawasan majoriti Melayu. Terdapat lebih 120 kerusi Parlimen yang mempunyai pengundi Melayu sebagai kelompok dominan.

Jika berlaku pertandingan tiga penjuru melibatkan UMNO, Pas dan parti lain, undi Melayu akan berpecah dan keadaan ini sering memberi kelebihan kepada pihak lawan.

Berdasarkan pengalaman saya sendiri dalam pilihan raya, terdapat beberapa pusat daerah mengundi yang saya gagal menangi walaupun mempunyai sokongan yang baik kerana pertembungan pelbagai penjuru, undi menjadi terpecah.

Sebaliknya, di kawasan yang majoriti pengundinya bukan Melayu atau kawasan campuran, corak pengundian lazimnya lebih tersusun dan sukar ditembusi kerana sokongan mereka lebih padu kepada parti pilihan masing-masing.

Atas sebab itu, saya berpandangan penyatuan kuasa politik Melayu dan Islam perlu dipertimbangkan semula demi mengelakkan perpecahan undi serta memperkukuh kedudukan mereka dalam landskap politik negara.

Adakah Presiden UMNO setuju kerana sebelum ini Ahmad Zahid katakan “tidak mahu dipatuk ular di tempat sama dua kali”?
Dalam perjuangan politik, saya melihat kepentingan untuk mendahulukan matlamat lebih besar berbanding ego atau kepentingan peribadi. Bagi saya, jika hanya mahu mengejar kedudukan atau perasaan sendiri, lebih baik tidak terlibat langsung dalam perjuangan politik.

Namun, saya memilih untuk terus bersama kerana keyakinan terhadap asas perjuangan UMNO sebagai parti yang memperjuangkan orang Melayu, di samping berharap agar Pas juga dapat bersama memperkukuh negara ini.

Saya melihat dalam banyak keadaan, perpecahan politik hanya merugikan pihak sendiri. Pengalaman beberapa PRK di Selangor menunjukkan bagaimana pertembungan sesama parti Melayu menyebabkan undi berpecah, manakala apabila wujud kesepakatan atau persefahaman, hasilnya lebih baik untuk blok Melayu.

Sebagai contoh, dalam beberapa siri pilihan raya termasuk di Selangor, saya melihat bagaimana strategi meletakkan calon secara berasingan atau bersepakat memberi kesan besar kepada keputusan.

Apabila berlaku pertembungan pelbagai penjuru, keputusan tidak memihak kepada pihak Melayu tetapi apabila wujud penyelarasan, kemenangan dapat dicapai.

Apa yang lebih penting ialah masa hadapan anak-anak cucu kita serta kelangsungan masa depan bangsa. KIta tidak mahu Melayu menjadi pelarian di negara sendiri.

Respon Presiden UMNO?
Dua kali saya berjumpa beliau. Beliau kata kepada saya, “yang lepas-lepas itu, kita lupakan. Kita pandang ke hadapan.” Selepas pertemuan itu, beliau memeluk saya. Katanya, demi bangsa dan agama, kita perlu melihat ke hadapan dan meninggalkan perkara yang berlalu.

Sebagai manusia, kita semua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Apa yang penting ialah bagaimana kita bergerak ke hadapan.

Saya percaya beliau juga melihat sendiri apa yang sedang berlaku dalam negara, termasuk apa yang berlaku di Selangor apabila UMNO dan Pas turun bersama dalam program Daulat Tuanku.

Saya telah bersama UMNO sejak usia 17 atau 18 tahun. Saya aktif dalam Kelab UMNO Luar Negara selama beberapa tahun. Saya pernah memegang pelbagai jawatan, termasuk Setiausaha Agung, Timbalan Presiden dan Presiden kelab tersebut.

Apabila pulang ke tanah air, saya terus aktif dalam Alumni Kelab UMNO Luar Negara dan pernah menjadi presidennya selama beberapa tahun. Jadi, kehidupan saya memang banyak berkait rapat dengan UMNO.

Saya sentiasa mengenang jasa UMNO. Pada pandangan saya, banyak peluang yang dinikmati orang Melayu hari ini lahir daripada dasar-dasar yang diperjuangkan parti itu. Dalam kes saya sendiri, peluang melanjutkan pelajaran hingga ke London dan menjadi seorang peguam banyak dibantu oleh dasar kerajaan ketika itu, termasuk melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Isteri saya juga berjaya menjadi profesor hasil peluang pendidikan yang diwujudkan menerusi dasar-dasar seperti matrikulasi dan program persediaan untuk anak-anak Melayu.

Adakah sudah ada perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama antara UMNO dan Pas?

Memang ada perbincangan mengenai kerjasama Melayu dan setakat ini respon yang diterima adalah positif. Daripada apa yang saya lihat, termasuk daripada pimpinan tertinggi, mereka menerima idea itu dengan baik.

Mengapa Tan Sri melihat kerjasama UMNO-Pas penting pada masa ini?
Keadaan politik sekarang sudah banyak berubah. Saya masih ingat pada era 1990-an, orang selalu kata kalau seseorang bertanding atas tiket UMNO, letak songkok pun boleh menang. Ketika itu UMNO sangat kuat.

Tetapi hari ini keadaannya sudah terbalik. Siapa yang berkawan dengan DAP pula mendapat kelebihan tertentu. Pada masa sama, undi Melayu berpecah dan itu memberi kesan kepada kekuatan politik Melayu.

Tetapi untuk sekarang, Pas tidak lagi boleh dilihat seperti dahulu. Jika dulu imej Pas lebih tertumpu kepada golongan ustaz dan pak lebai, kini ramai golongan profesional bersama Pas.

Mereka mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam pelbagai bidang. Sebab itu, saya melihat budaya politik Pas juga sudah berubah dan lebih terbuka berbanding dahulu.

Adakah Tan Sri bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang?
Saya melihat keadaan politik perlu ditangani secara matang. Kita mungkin berbeza parti dan berlawan semasa pilihan raya tetapi apabila berada dalam kerajaan, urusan pentadbiran negara perlu diutamakan.

Dalam mesyuarat Kabinet, kita tidak boleh membawa sentimen politik kepartian sehingga menjejaskan pentadbiran. Kalau semua perkara mahu dilihat dari sudut parti, kerajaan tidak akan dapat berfungsi dengan baik.

Selain usaha menyatukan UMNO dan Pas, apakah fokus Tan Sri menjelang PRU akan datang?
Saya melihat Selangor sebagai negeri yang sangat penting. Berdasarkan pengalaman saya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor sebelum ini, jika UMNO dan Pas bekerjasama, peluang untuk memenangi lebih banyak kerusi adalah lebih besar.

Dalam banyak kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), undi Melayu yang berpecah menyebabkan kemenangan terlepas kepada pihak lawan. Jika undi itu dapat disatukan, keputusan boleh berubah dengan ketara.

Pengalaman yang saya ada boleh dimanfaatkan untuk membantu parti mencapai kemenangan. Saya melihat perkara itu sebagai tanggungjawab saya.

Mengapa Tan Sri begitu yakin Selangor boleh dimenangi melalui kerjasama UMNO dan Pas?
Daripada analisis yang saya lakukan, terdapat beberapa kerusi Parlimen dan DUN yang sebenarnya boleh dimenangi jika UMNO dan Pas bergabung. Contohnya di Kuala Selangor, Shah Alam, Hulu Langat, Gombak dan beberapa lagi. Banyak kerusi ini dimenangi dengan majoriti yang tidak terlalu besar.

Sebab itu, saya percaya kerjasama UMNO dan Pas boleh memberi impak besar di Selangor.

Bagaimana pula dengan kedudukan anak Tan Sri yang berada dalam parti berbeza?
Itu hak dia untuk membuat keputusan sendiri. Saya tidak campur tangan dalam keputusan politik anak saya. Dia boleh menentukan haluannya sendiri.

Jadi fokus utama Tan Sri sekarang ialah membantu kemenangan parti?
Ya, fokus utama saya ialah membantu parti. Apa juga pengalaman dan pengetahuan yang saya ada akan digunakan untuk memperkukuhkan parti serta menghadapi pilihan raya yang akan datang.

Apakah harapan Tan Sri terhadap kerjasama UMNO dan Pas menjelang PRU akan datang?
Saya percaya jika UMNO dan Pas dapat mencari titik persamaan dan bekerjasama, banyak kawasan boleh dimenangi semula. Kita pernah melihat bagaimana perpecahan undi memberi kelebihan kepada pihak lawan.

Sebab itu, saya berpendapat kerjasama tersebut perlu dilihat dari sudut yang lebih besar, iaitu kepentingan politik Melayu dan kestabilan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN