Aneka minuman RM1 sebungkus

Aneka minuman RM1 sebungkus

SHAHRIL Ahmad dan Norfadilah Nordin menunjukkan minuman untuk dijual pada harga RM1 sebungkus di gerai mereka di Pantai Johor, Alor Setar. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang peniaga di Pantai Johor, di sini hanya menjual setiap bungkus minuman pada harga RM1 di sebalik kenaikan harga barangan ketika ini.

Bagaimanapun Shamsudin Ahmad, 57, yang sudah lebih 20 tahun berniaga minuman berkata, setiap hari dia masih mampu menjual sehingga 1,000 bungkus daripada 20 jenis sekali gus membolehkannya mendapat keuntungan.

“Dari dahulu lagi jual RM1, nak naikkan harga tak sanggup sebab pelanggan kami selalunya budak-budak sekolah berdekatan. Selalunya selepas waktu sekolah mereka akan singgah sini untuk beli minuman. Kalau naikkan harga kasihan pula.

“Kami jual lebih 20 minuman dan yang paling popular ialah teh, nescafe, teh hijau dan milo ais. Gerai ini buka dari pukul 1 petang sehingga 1 pagi tetapi kadang-kadang pukul 10 malam dah tutup sebab ais sudah habis,” katanya ketika ditemui di gerainya, semalam.

Menurut Shamsudin, setiap hari gerainya itu menggunakan sebanyak 100 pek ais dan 288 tin susu untuk menjual lebih 1,000 bungkus minuman.

“Semua barang sudah naik harga terutama beberapa tahun kebelakangan ini daripada susu, gula hingga ke bungkusan minuman tetapi tak apalah kami masih kekalkan harga ini sekurangnya boleh bantu orang lain juga.

“Selain minuman RM1 ada juga kami jual RM2 seperti neslo, minuman peket dan limau soda,” katanya.

Tambah Shamsudin, gerai­nya itu kini dibantu oleh adiknya, Shahril Ahmad, 40, dan isterinya, Norfadilah Nordin, 38, bersama tiga pembantu mereka.

“Walaupun harga RM1 namun saya akan pastikan sukatan untuk setiap minuman tidak dikurangkan sedikit pun. Biarlah rasanya sama seperti 20 tahun lepas. Berniaga kena ikhlas barulah rezeki berkat.

“Setakat ini Alhamdulillah boleh dapat keuntungan lagi setelah tolak kos semua termasuk bayar pembantu gerai mungkin kerana kami boleh jual dalam kuantiti yang banyak,” jelasnya.

Katanya, jualan minuman di gerai itu mampu meningkat sehingga 2,000 bungkus ketika musim cuti sekolah dan musim perayaan.

“Pada Khamis, Sabtu dan Ahad memang jualan akan lebih sikit terutama ketika musim cuti apabila orang balik kampung mereka akan datang ke sini. Banyak yang kata rasa minuman masih sedap dan kaw walaupun harga RM1. Itulah yang kami harapkan,” katanya.

Sementara itu menurut seorang pelanggannya, Ali Mahmood, 45, gerai minuman itu menjadi singgahannya setiap hari ketika pulang dari kerja.

“Saya tinggal di Jitra waktu pulang kerja memang saya akan singgah. Milo ais dan teh ais cuma RM1 mana nak dapat dah kedai lain paling murah pun RM1.80 malah RM2.50,” kata­nya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya