Tragedi 2018 Jerman kembali berulang - Utusan Malaysia

Tragedi 2018 Jerman kembali berulang

Walaupun mengatasi Costa Rica, 4-2 namun Jerman gagal meloloskan diri ke pusingan 16 terbaik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA : Tragedi pahit dialami Jerman empat tahun lalu kini kembali berulang apabila mereka tersingkir seawal peringkat kumpulan buat kali kedua berturut-turut daripada saingan Piala Dunia 2022.

Walaupun meraih tiga mata menewaskan Costa Rica, 4-2 pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Al Bayt sebentar tadi, namun ia belum cukup untuk memastikan skuad Die Mannschaft layak ke pusingan kalah mati.

Jerman yang merupakan juara empat kali itu berada di tangga ketiga Kumpulan E susulan kemenangan Jepun 2-1 ke atas Sepanyol.

Pada perlawanan itu, skuad Die Mannschaft turun dengan misi wajib menang bagi melayakkan diri ke pusingan kalah mati selepas mencatat satu kekalahan dan satu seri dalam dua aksi terdahulu.

Jerman nyata berada dalam kelas tersendiri apabila menguasai sepenuhnya aksi separuh masa pertama dan berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Serge Gnabry yang menanduk masuk hantaran dilakukan David Raum.

Empat minit berselang, skuad kendalian Hansi Flick itu hampir menggandakan kedudukan, namun penjaga gol Costa Rica, Keylor Navas lebih bersedia apabila menyelamatkan percubaan Leon Goretzka.

Ketika separuh masa pertama berbaki tiga minit, Costa Rica hampir menghukum kesilapan bek tengah Jerman, Antonio Rudiger, namun sepakan deras Keysher Fuller ditepis Manuel Neuer.

Bersambung babak kedua, Costa Rica berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Yeltsin Tejeda pada minit ke-57 sebelum Juan Pablo Vargas menggandakan kedudukan 12 minit kemudian untuk kedudukan 2-1.

Tersentak dengan gol tersebut, Flick kemudiannya melakukan beberapa perubahan taktikal apabila mengeluarkan Thomas Muller dan Raum dengan memasukkan Kai Havertz dan Mario Gortze.

Keputusan Jerman memasukkan Havertz nyata membawa tuah apabila pemain Chelsea itu meledak dua gol dalam tempoh 10 minit bagi memastikan mereka kembali mendahului perlawanan 3-2.

Niclas Fullkrug melengkapkan kemenangan Jerman apabila menjaringkan gol keempat minit ke-89 selepas menerima hantaran yang dilakukan pemain sayap, Leroy Sane.- AGENSI.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya