NEW YORK: Pengarah filem, Patty Jenkins menepis dakwaan yang mengaitkannya dengan pembatalan filem ketiga Wonder Women.
Jenkins yang juga pengarah dua filem terdahulu karakter ikonik itu memaklumkan, pembatalan tersebut tidak ada kena mengena dengannya dan ia merupakan keputusan dibuat syarikat DC Studios.
“Ramai pihak menuding jari, menuduh saya menjadi penyebab filem itu dibatalkan. Itu adalah pembohongan.
“Saya tidak pernah menarik diri dan terbuka dengan sebarang tawaran yang diajukan. Tiada apa yang boleh saya lakukan kerana DC telah memuktamadkan keputusan mereka untuk tidak menyambung filem tersebut,” katanya.
DC Studio melalui arus perubahan besar-besaran dengan pelantikan pengarah filem, James Gunn dan Peter Safran selaku Pengerusi Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, baru-baru ini.
Pada masa sama, Jenkins juga berharap filem Wonder Women tidak menemui pengakhiran mengecewakan peminatnya.
“Saya bangga dan bersyukur kerana diberi kepercayaan mengemudi dua filem Wonder Women terdahulu. Ia adalah watak yang menakjubkan.
“Saya mendoakan agar watak tersebut dan legasinya mempunyai masa depan yang cerah nanti,” ujarnya.