Ramai gagal ujian Puspakom guna brek tiruan

Ramai gagal ujian Puspakom guna brek tiruan

RAHMAD Mariman mendengar taklimat ketika lawatan kerja ke Puspakom Alor Gajah, Rembia, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Hampir 30 peratus kenderaan yang dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di sini gagal melepasi pemeriksaan setiap hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, Puspakom Alor Gajah memeriksa sehingga 400 kenderaan sehari membabitkan fizikal kenderaan, nombor casis, sistem brek dan sebagainya.

Menurutnya, pemandu atau pemilik kenderaan perlu membuat pembaikan jika gagal pemeriksaan kali pertama dan mereka diberi peluang sehingga pemeriksaan kali ketiga.

“Tujuannya adalah untuk memastikan kenderaan tersebut selamat untuk pemandu dan pengguna jalan raya yang lain. Peratusan kegagalan antara 20 hingga 30 peratus ini menunjukkan Puspakom membuat pemeriksaan dengan teliti.

“Saya berpendapat yang gagal ini kerana mereka (pemilik) tidak bersedia, tetapi tetap menghantar kenderaan kerana tempoh pemeriksaan semakin hampir. Kita tidak benarkan kenderaan yang gagal ini berada di jalan raya. Mereka perlu baiki dan datang untuk pemeriksaan semula,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Puspakom Alor Gajah, Rembia di sini semalam.

Tambah Rahmad, antara punca yang menyumbang kepada kegagalan kenderaan adalah disebabkan sistem brek tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Katanya, penggunaan pad brek atau cakera brek tiruan boleh menyebabkan kegagalan sistem brek, sekali gus membahayakan nyawa pemandu dan pengguna jalan raya lain.

“Murah (tiruan) boleh guna tapi jaminan keselamatan belum tentu. Banyak kes yang berlaku disebabkan brek tiruan dan murah. Kalau kita kenal pasti brek itu tiruan, memang kita tidak benarkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.