fbpx

Mekanik maut dihempap pikap

SEORANG lelaki maut selepas dihempap sebuah pikap di jalan ladang Felda Chiku 2, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/IHSAN POLIS

GUA MUSANG: Seorang mekanik maut apabila pikap yang dipandunya terbalik selepas terjatuh lalu menghempapnya semasa sedang menuruni kawasan berbukit di jalan ladang Felda Chiku 2 di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa, Noor Asmawi Mat @ Mohd. Nor, 37, dari Felda Chiku 2 maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa sedang memandu uji pikap jenis Toyota Hilux yang dibaikinya di jalan kawasan ladang itu.

Menurutnya, setiba di lokasi, pikap dikatakan hilang kawalan semasa menuruni bukit dan kemudian terbalik ke arah kanan jalan.

“Akibat kejadian itu mangsa terjatuh dan dihempap pikap tersebut. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Choon Foo memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN