Lelaki bertelekung dicekup curi beg jemaah wanita - Utusan Malaysia

Lelaki bertelekung dicekup curi beg jemaah wanita

Lelaki bertelekung
TANGKAP layar memaparkan seorang lelaki bertelekung yang disyaki mencuri beg jemaah wanita di masjid sekitar Seksyen 18, Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perbuatan terkutuk seorang lelaki yang sanggup bertelekung untuk mencuri beg jemaah wanita di dua masjid di daerah ini tumpas apabila dicekup polis hari ini.

Suspek berusia lingkungan 20-an itu bertindak mencuri ketika mangsa sedang menunaikan solat berjemaah di masjid sekitar Seksyen 18 di sini, pada Selasa lalu selepas polis menerima dua laporan berhubung kecurian barangan melibatkan kerugian kira-kira RM3,500.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, perkara itu dikesan pihaknya menerusi satu video tular yang memaparkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lelaki memasuki ruang solat wanita untuk melakukan kegiatan berkenaan.

“Kejadian pertama melibatkan wanita berusia 60 tahun yang kehilangan beg berisi pelbagai barangan berharga selepas menunaikan solat di Masjid Al-Azahariah, pukul 3.41 petang.

“Dalam kejadian kedua, seorang jemaah wanita berusia 58 tahun turut menjadi mangsa kecurian beg tangannya di Masjid Al-Hidayah, pukul 10.47 malam hari sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohd. Iqbal, rakaman CCTV di dua lokasi kejadian mendapati suspek menggunakan taktik sama iaitu memakai telekung putih memasuki ruangan jemaah wanita.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan lelaki itu di sekitar Seksyen 18, pukul 12.05 tengah malam tadi. Penahanan suspek turut membawa kepada rampasan dua telefon bimbit yang dicuri ketika kejadian itu,” ujarnya.

Tambah beliau, semakan mendapati lelaki bertelekung itu yang juga merupakan seorang penganggur turut memiliki lima rekod jenayah lampau termasuk kes penyalahgunaan dadah.

“Lelaki itu direman selama empat hari  sehingga 26 Disember depan bagi membantu siasatan. Kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya